Berita Utama

Sekatan pergerakan penuh fasa satu bermula tengah malam ini

Masyarakat diseru untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan

KUALA LUMPUR, 19 Syawal 1442H, Isnin – Pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau ‘total lockdown’ fasa pertama di seluruh negara yang berkuat kuasa selama 14 hari akan bermula tengah malam ini.

Tempoh dua minggu berkenaan merupakan tempoh yang amat penting bagi negara untuk melandaikan lekuk COVID-19 yang sebelum ini pernah merekodkan sebanyak 9,020 kes baharu harian, tertinggi sejak pandemik berkenaan melanda negara awal tahun lalu.

Untuk itu, masyarakat diseru untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan kekal di kediaman masing-masing dan hanya keluar untuk urusan penting.

Sepanjang tempoh berkenaan, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan telah diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

Selain mengekalkan larangan merentas negeri dan daerah yang dikuatkuasakan sebelum ini, ‘total lockdown’ kali ini juga turut menangguhkan kebenaran merentas negeri dan daerah bagi pasangan jarak jauh (PJJ), kecuali bagi kes membabitkan kes kecemasan seperti kematian serta ahli keluarga sakit, nazak dan sebagainya yang dibenarkan dengan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam tempoh berkenaan, surat kebenaran perjalanan untuk bekerja yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebelum ini juga terbatal dan surat kebenaran baharu perlu dimohon kepada kementerian yang berkaitan.

Masyarakat juga tidak perlu bimbang kerana restoran; gerai dan outlet makanan; dobi (termasuk layan diri); kedai penjagaan haiwan dan makanan haiwan; kedai cermin mata dan barang optik; kedai hardware (barangan logam); bengkel kenderaan, penyelenggaraan dan alat ganti; e-dagang (semua kategori produk) serta pemborongan dan pengedaran (semua kategori produk perkhidmatan perlu sahaja) dibenarkan beroperasi.

Kompleks beli-belah juga ditutup sepanjang tempoh berkenaan kecuali premis pasar raya, pasar raya besar, kedai serbaneka, kedai farmasi dan kedai runcit yang mempunyai bahagian makanan dan minuman serta keperluan asas sahaja.

Sepanjang tempoh berkenaan juga kapasiti kenderaan persendirian dihadkan kepada dua wakil isi rumah sahaja termasuk pemandu bagi tujuan mendapatkan bekalan makanan dan keperluan asas dalam jarak 10 kilometer daripada kediaman manakala bagi tujuan kesihatan dan perubatan pula, kaspasiti maksimum yang dibenarkan hanya tiga orang termasuk pesakit.

Selain itu, taman asuhan kanak-kanak (Taska), taman didikan kanak-kanak (Tadika) dan taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) swasta di sekolah swasta, antarabangsa dan ekspatriat serta pusat perkembangan minda bagi kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun dibenarkan beroperasi untuk petugas barisan hadapan serta ibu bapa yang kedua-duanya bekerja.

Kerajaan juga akan melaksanakan ‘lockdown’ fasa kedua yang akan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal, sekiranya fasa pertama berjaya mengurangkan kes harian COVID-19.

Fasa kedua berkenaan akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas fasa pertama berakhir dan fasa ketiga ialah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam sidang media khas hari ini berkata PDRM akan mengadakan 800 sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara berbanding 600 sebelum ini.

Katanya individu yang mempunyai urusan mendapatkan vaksin tidak memerlukan kebenaran polis sebaliknya hanya menunjukkan maklumat janji temu dalam aplikasi MySejahtera.

Jumlah kes baharu COVID-19 di negara mencatatkan penurunan ketara dua hari berturut iaitu dengan 6,824 kes hari ini dan 6,999 kes semalam. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button