Berita Utama

Sikap rakyat penyumbang kejayaan ‘total lockdown’

Cukup-cukuplah buat silap rentas negeri tanpa urusan betul

BANGI, 19 Syawal 1442H, Isnin – Sikap rakyat di negara ini menjadi penyumbang kejayaan kepada segala keputusan kerajaan termasuk sekatan pergerakan penuh.

Atas dasar itu, keputusan sekatan pergerakan penuh kali ini perlu dijadikan sebagai kejayaan kepada rakyat dan negara melawan wabak COVID-19, kata Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni UiTM Negeri Sembilan, Dr Siti Sara Ibrahim.

“Kita pernah menang sebelum ini tetapi disebabkan sikap manusia sama ada rakyat mahupun pemimpin, akhirnya kita melihat kes jangkitan COVID-19 mencapai angka lebih 8,000 kes baharu,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari, bermula Selasa ini hingga 14 Jun depan.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, menerusi total lockdown itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Mengulas lanjut, Dr Siti Sara berkata, sejak kenyataan itu dikeluarkan, kebanyakan rakyat mula berpusu-pusu beratur di kedai dan pasar raya untuk melakukan pembelian barang keperluan bagi tempoh dua minggu akan datang.

Malah, katanya, terdapat barang bukan keperluan juga dibeli, menjadikan pembelian panik dalam kalangan masyarakat sudah bermula.

“Apakah sikap ini yang perlu kita ada dalam menyokong usaha kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengurangkan penularan COVID-19?

“Hakikatnya, kita tahu barang keperluan ini masih mencukupi di pasaran, malah kerajaan sendiri berjanji memastikan ia akan mencukupi bagi pembelian ketika sekatan pergerakan penuh ini,” katanya.

Selain itu, katanya, lebuh raya mula dipenuhi kenderaan seperti di laluan Plaza Tol Gombak menghala ke Bentong dan Sungai Besi menghala ke Selatan.

Beliau mempersoalkan sekiranya keputusan untuk pulang ke kampung itu selepas mendengar keputusan sekatan pergerakan penuh.

“Moga ia bukan begitu kerana jika ini tidak, sikap sebeginilah menjadi penyumbang kenaikan kes COVID-19.

“Cukup-cukuplah kita membuat kesilapan masa lalu dengan merentas negeri tanpa urusan betul, balik ke kampung beraya, aktiviti sosial dan tidak mematuhi SOP.

“Jadikanlah kesilapan lalu sebagai pengajaran. Sampai bila kita hendak duduk di rumah dan menanti arahan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) , PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan), PKP Pemulihan (PKPP) dan kembali semula kepada PKP dan seterusnya?” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button