Tajuddin digesa tarik sokongan terhadap PN? Henti segera politiking
Beri kerajaan ruang luas untuk urus COVID-19 tanpa ugutan politik

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 19 Syawal 1442H, Isnin – Tatkala rakyat berdepan waktu sukar berikutan lonjakan kes harian COVID-19, tidak sewajarnya ahli politik terus ‘berpolitiking’.
Timbalan Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Ahmad Kamsani Samingan menegaskan, dalam hal ini, kepentingan rakyat dan kesihatan awam mesti diutamakan.
“Pada masa ini, pihak kerajaan harus diberi ruang untuk mengurus situasi pendemik COVID-19 tanpa diganggu oleh ugutan politik pihak-pihak tertentu.
“Selain itu, pihak kerajaan diseru untuk menyegerakan inisiatif vaksinasi COVID-19 supaya imuniti kelompok dapat dicapai dalam masa yang singkat,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Mengulas mengenai gesaan seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO supaya Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman segera mengumumkan penarikan sokongan terhadap Perdana Menteri, Dr Kamsani berkata, tindakan itu membuktikan kiblat perjuangan parti yang tidak berpaksi kepada kebajikan rakyat.
Bahkan katanya, gesaan itu hanyalah tindakan ‘politiking’ yang tidak membawa apa-apa kebaikan kepada rakyat dan negara.
“‘Pemecatan’ Tajudin yang dibuat setelah sidang media mengenai tragedi pertembungan dua tren LRT pada hemat saya dibuat atas dasar prestasi kerja yang tidak profesional. Ia harus diterima dengan baik oleh semua pihak,” katanya.
Rabu lalu, kerajaan menamatkan khidmat Tajuddin sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana berkuat kuasa serta-merta.
Ia berikutan tindak-tanduk Tajuddin dianggap memalukan ketika mengadakan sidang media berhubung kemalangan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) di laluan Kelana Jaya, berdekatan Stesen LRT Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) pada Isnin.
Dalam sidang media berkenaan, Tajuddin secara berjenaka memberitahu wartawan keadaan kemalangan dalam terowong itu adalah normal dengan hanya dua tren bersama, saling bercium.
Bukan hanya itu, tindak-tanduk Ahli Parlimen Pasir Salak berkenaan pada sidang media turut dikritik, malah tindakannya yang tidak memakai pelitup muka juga dipertikaikan.