Dunia

Tentera negara haram tahan 18 wartawan Palestin

Pelbagai cara diguna halang tugasan seperti lepaskan tembakan

RAMALLAH, 19 Syawal 1442H, Isnin – Tentera Israel menahan 18 wartawan Palestin di penjara mereka, kata Suruhanjaya Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin lapor Agensi Berita Jordan (Petra).

Baru-baru ini wartawan Zaina Halawani dan jurugambar Wehbe Makiya turut ditahan tentera rejim itu. Kedua-duanya diserang dengan kejam dan masih ditahan dengan alasan untuk melengkapkan siasatan, kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa penjajah baru-baru ini meningkatkan serangan terhadap wartawan dan kru media Palestin, terutama di kawasan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis yang diduduki.

Menurut suruhanjaya itu sejak awal bantahan mengutuk dasar Israel yang mencabuli hak penduduk Palestin, khususnya di Baitulmaqdis, pihak berkuasa penjajah telah mengganggu tugas wartawan dan menghalang mereka menyampaikan kebenaran serta mendedahkan jenayah yang dilakukan.

Pelbagai cara digunakan untuk menghalang tugasan wartawan dan kru media termasuk merampas peralatan, menyekat kebebasan bergerak dan melepaskan tembakan ke arah mereka, selain menyerang ibu pejabat media dan institusi.

Suruhanjaya itu meminta pertubuhan hak asasi manusia dan organisasi antarabangsa menghantar suruhanjaya penyiasatan untuk mendokumentasi keganasan terhadap kru media, dan memastikan pihak penceroboh bertanggungjawab terhadap jenayah dilakukan kepada wartawan yang menjalankan tugas. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button