Berita Utama

Waspada! Jangan terpengaruh dakyah golongan antivaksin

I-Medik sokong usaha ambil tindakan ke atas penghasut antivaksin

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 19 Syawal 1442H, Isnin – Rakyat Malaysia perlu lebih berhati-hati dalam menerima sebarang maklumat, khususnya di media sosial supaya tidak terpengaruh dengan dakyah yang disebarkan oleh kumpulan antivaksin.

Timbalan Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Datuk Dr Mohamed Hatta Mohamed Tarmizi percaya, kumpulan antivaksin di Malaysia hanya sebilangan kecil berbanding mereka yang menerimanya.

Bagaimanapun, disebabkan kelalaian masyarakat dalam menerima maklumat yang tidak disahkan kesahihannya, lebih ramai yang mula berasa takut dan memberi stigma buruk terhadap vaksin COVID-19.

“Sebab itu apabila kita menerima maklumat atau berita tertentu, perlu untuk mengesahkan kesahihannya dulu.

“Dalam al-Quran juga sudah disebut dalam surah al-Hujurat ayat 6, jika datang sesuatu berita perlu tabayyun, periksa dahulu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Justeru, beliau menyambut baik langkah kerajaan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas golongan antivaksin yang cuba menghasut orang ramai daripada menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Kita mengalu-alukan langkah pihak kerajaan untuk kenakan hukuman atau denda ke atas mereka (penghasut antivaksin) selari dengan undang-undang yang ada di Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, golongan penghasut antivaksin boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Ordinan Darurat 2021.

Pada masa sama, Dr Mohamed Hatta masih berpuas hati dengan tahap kesedaran masyarakat terhadap program imunisasi COVID-19.

Beliau berkata, pengambilan vaksin bukan sekadar melindungi diri sendiri, malah juga mereka di sekeliling.

“Seperti saya katakan, mereka yang antivaksin atau tidak mahu kepada vaksin ini tidak ramai, berbanding mereka yang mahukannya.

“Ini terbukti daripada kesesakan trafik untuk mendaftar vaksin AstraZeneca baru-baru ini. Laporan di UK dan AS juga menyatakan, kes jangkitan dan kematian menurun disebabkan program vaksin.

“Saya tahu ramai yang sedar akan kepentingannya. Cuma kita harap kerajaan tidak melengahkan dan mempercepatkan vaksinasi ini kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button