Berita Utama

Waspada simptom awal masalah kesihatan mental ketika ‘lockdown’

Syor kerajaan perkasa sistem sokongan atas talian, tele-kaunseling

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 19 Syawal 1442H, Isnin – Setiap individu perlu sedar simptom dan tanda awal tekanan emosi bagi mencegah kepada masalah kesihatan mental yang lebih serius, khususnya sepanjang fasa penguatkuasaan sekatan penuh di seluruh negara bagi tempoh 14 hari.

Bantuan segera diperlukan jika seseorang individu mulai berasa kemurungan, keresahan melampau, fikiran berputus asa, keinginan mencederakan atau bunuh diri dan gangguan kepada rutin harian seperti tidur serta hilang selera makan.

Pakar Psikiatri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rozanizam Zakaria berkata, pelaksanaan sekatan penuh (total lockdown) mulai esok mungkin mendorong kepada peningkatan kadar isu tekanan mental dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, isu tekanan mental bukan hanya membabitkan individu yang terkesan secara langsung akibat pandemik COVID-19 dan pelaksanaan sekatan, bahkan juga bagi mereka yang sebaliknya.

“Pandemik ini tidak hanya memberi kesan kepada pesakit dan ahli keluarga mereka, tetapi juga masyarakat yang terjejas secara tidak langsung khususnya dalam aspek ekonomi, kewangan, kerjaya dan sosial.

“Bahkan, faktor isolasi dan terputusnya sokongan sosial akibat ‘lockdown’ juga menjadi punca asas yang menyumbang kepada peningkatan masalah kesihatan mental,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Atas sebab itu, Dr Rozanizam berkata, semua pihak di pelbagai peringkat mesti memainkan peranan mereka, sama ada individu, keluarga, masyarakat dan kerajaan.

Beliau berkata, di fasa ini kerajaan perlu memperkasakan bantuan kepada rakyat yang terkesan seperti hilang punca pendapatan, kerana ia antara faktor utama kepada tekanan mental.

“Bantuan praktikal kerajaan sama ada dalam bentuk kewangan atau kerja sebenarnya boleh mencegah rakyat Malaysia daripada terus terkesan.

“Pada masa sama, perkasakan juga sistem atau akses rakyat mendapatkan bantuan kesihatan mental,” katanya.

Katanya, negara perlu beralih kepada bantuan intervensi kesihatan mental secara atas talian (digital mental health), ekoran kekangan untuk keluar mendapatkan bantuan.

Justeru, Dr Rozanizam berkata, kerajaan mesti memperkasakan sistem sokongan secara atas talian dan tele-kaunseling.

“Selain itu, bantuan dari sudut akses meningkatkan bentuk sokongan yang boleh diberikan pada mereka yang terkesan, contohnya di pusat kuarantin.

“Mereka akan dibantu secara langsung oleh team kesihatan mental dan psikososial supaya setiap mereka diberi peluang untuk dibantu dari segi kaunseling, sokongan sosial dan emosi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button