Berita UtamaDunia

Bimbang penduduk makin tua, China benar pasangan miliki tiga anak

Warga emas di negara republik dijangka cecah ratusan juta menjelang 2050

BEIJING, 20 Syawal 1442H, Selasa – Bimbang dengan laporan bancian yang menunjukkan penduduknya semakin tua, negara Republik China kini melonggarkan dasar perancangan keluarga dengan membolehkan pasangan mempunyai sehingga tiga anak.

Selama hampir 40 tahun, China menerapkan ‘dasar satu anak’ yang kontroversi – salah satu peraturan perancangan keluarga yang paling ketat di dunia.  

Dasar itu pertama kali dilonggarkan pada tahun 2016 dengan ‘dasar dua anak’ berikutan kebimbangan yang meluas mengenai tenaga kerja yang semakin tua dan ekonomi tidak berkembang.

Walaupun kerajaan berusaha mendorong pasangan untuk memiliki anak, kelahiran tahunan China terus menurun, jatuh ke paras terendah 12 juta pada tahun 2020, kata Biro Perangkaan Kebangsaan bulan lalu.

Keadaan itu mengancam krisis demografi – kini terlalu sedikit orang yang bekerja untuk menyokong ratusan juta warga emas yang dijangka menjelang 2050 – sekali gus mengejutkan Parti Komunis diketuai oleh Presiden Xi Jinping.

“Untuk bertindak balas secara aktif terhadap penuaan penduduk… pasangan boleh memiliki tiga anak,” kata Xinhua, yang memetik mesyuarat jawatankuasa kepemimpinan elit Politburo China yang dihoskan oleh Presiden Xi, semalam.

Kadar kesuburan China berada pada tahap 1.3 – di bawah tahap yang diperlukan untuk mengekalkan populasi yang stabil, kata Biro Perangkaan Kebangsaan.

Hasil bancian dalam satu dekad 2020 yang diterbitkan bulan lalu juga menunjukkan, populasi China meningkat pada kadar paling perlahan sejak tahun 1960-an, mencapai 1.41 bilion, sementara jumlah rakyat yang berkerja menurun dengan mendadak.

Para pemimpin juga bersetuju bahawa China perlu menaikkan usia persaraannya untuk menjaga lebih banyak tenaga kerja dan meningkatkan perkhidmatan pencen serta kesihatan untuk warga emas, kata Xinhua. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button