Berita Utama

Golongan M40 terjejas juga perlukan bantuan kerajaan

Kerajaan disyor tambah baik, beri jaminan akan bantu golongan M40 memerlukan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 20 Syawal 1442H, Selasa – Pengumuman kerajaan mengenai pakej bantuan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) Tambahan bernilai RM40 bilion susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula hari ini, dilihat lebih bersifat jangka pendek.

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ia lebih memfokuskan kepada golongan rentan dan yang terjejas seperti B40, perusahaan mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Pun begitu, golongan pertengahan iaitu M40 kesal kerana tidak mendapat sebarang manfaat daripada pengumuman semalam meskipun ada di antara mereka yang terjejas.

“Kebanyakan mereka (B40 dan PKS) ini juga telah berdaftar di bawah pangkalan data untuk pelbagai inisiatif seperti BPR, PSU, GKP dan ini membolehkan saluran bantuan dilakukan dengan cepat. 

“Walau bagaimanapun saya melihat wujudnya kebimbangan di kalangan M40 yang merasakan bahawa mereka tidak mendapat apa-apa di bawah PEMERKASA+. 

“Walhal mereka juga terjejas jika ‘full lockdown’ ini berlanjutan untuk beberapa bulan akan datang,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Berikutan itu, Dr Ahmed Razman berkata, beliau berharap kerajaan akan mengambil berat kerisauan golongan M40 ini dengan memberi jaminan bahawa kerajaan akan sentiasa memantau situasi dari semasa ke semasa.

Selain itu, tegasnya, kerajaan perlu memberi jaminan kepada golongan M40 untuk turut memberi bantuan jika mereka berada dalam keadaan memerlukan.

“Kerajaan disyor supaya menambahbaik PEMERKASA+ dengan melaksanakan beberapa inisiatif yang memfokuskan kepada golongan M40 pula,” katanya. 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam mengumumkan pakej bantuan dan rangsangan ketujuh dikenali sebagai PEMERKASA Tambahan atau PEMERKASA Plus berjumlah RM40 bilion.

Jumlah itu melibatkan suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM5 bilion membabitkan 12 inisiatif yang akan dilaksanakan berlandaskan tiga matlamat utama iaitu mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam, meneruskan agenda prihatin rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

Sebanyak RM2.1 bilion diperuntukkan bagi menambah kadar program Bantuan Prihatin Rakyat (BPR). 

Bagi kategori isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,500 akan menerima kadar BPR tambahan sebanyak RM500 dan isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga 5,000, akan menerima kadar sebanyak RM300. 

Golongan bujang pula akan menerima 100 ringgit.

Sementara golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP diberi pilihan mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama 3 bulan atau boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama tempoh 6 bulan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button