Artikel Khas

Jangan terpengaruh dengan ‘ustaz’ palsu tentang COVID-19

Jika pandemik berterusan nescaya sistem kesihatan akan lumpuh

PANDEMIK COVID-19 yang melanda negara kita kian meruncing sehingga ke hari ini. Terkini jumlah kes baharu harian adalah 6,824 kes. Selain itu, jumlah kematian COVID-19 juga meningkat berjumlah 2,796 orang. (rujuk covid-19.moh.gov.my).

Perlu difahami virus COVID-19 ini amat mudah merebak dan bermutasi. Respon tubuh individu terhadap penyakit ini adalah berbeza mengikut tahap kekuatan sistem imuniti tubuh. Perbezaan respon inilah yang menyebabkan kepelbagaian tahap keseriusan pesakit COVID-19 dari tanpa simptom sehingga tahap serius (radang paru-paru COVID-19 yang memerlukan bantuan pernafasan).

Antara langkah pencegahan yang terbaik bagi merawat virus COVID-19 ini adalah melalui kaedah vaksinasi. Setelah lebih setahun berlalu tanpa vaksin, kini seluruh negara di dunia sedang rancak melaksanakan program vaksinasi COVID-19 secara percuma. Sehingga kini negara seperti China, Amerika Syarikat dan United Kingdom telah berjaya mencatat penurunan kes jangkitan COVID-19 yang amat ketara sejak program vaksinasi dilaksanakan di negara tersebut.

Namun demikian, sebaliknya berlaku di negara kita, peratusan pendaftaran bagi vaksinasi COVID-19 bagi negeri-negeri di Malaysia rata-rata masih di bawah 70 peratus kecuali Wilayah Putrajaya telah mencapai 100 peratus pendaftaran program vaksinasi kebangsaan. Antara negeri yang terendah peratusan pendaftaran program vaksinasi kebangsaan adalah Sabah (18.17%), Kelantan (31.81%), Terengganu (37.95%) dan Kedah (38.74%) (rujuk covid-19.moh.gov.my,data kemaskini 27 Mei 2021).

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan berita di mana 10,000 pendaftar program vaksinasi COVID-19 di Kelantan tidak hadir janji temu dan rata-rata memberikan alasan yang tidak wajar bagi perbuatan tersebut.

Di manakah silapnya? Adakah mereka ini tidak ada perasaan bersalah dan lupa yang Kelantan sedang menghadapi pandemik COVID-19 yang sangat teruk? Adakah masyarakat Kelantan ini tidak sedar bahawa negeri ini mempunyai penghidap penyakit kencing manis yang tinggi serta peratus warga emas yang tinggi, yang kedua faktor ini mendedahkan mereka terhadap jangkitan COVID-19 yang serius?

Sehingga kini, dua buah hospital telahpun ditukar menjadi Hospital Rawatan COVID-19 sepenuhnya iaitu Hospital Tumpat dan Hospital Machang. Perlu difahami keadaan seperti ini akan menyebabkan kesesakan pesakit di hospital lain dan akan menjejaskan rawatan bagi penyakit bukan COVID-19 seperti penangguhan janji temu pembedahan elektif dan angiogram.

Jika pandemik ini berterusan nescaya sistem kesihatan akan lumpuh kerana kekurangan staf berkemahiran serta penggunaan maksima fasiliti kesihatan.

Jika diteliti, antara faktor penyebab penolakan vaksin adalah kerana masyarakat mudah mempercayai penyebaran berita palsu yang viral seperti audio Mak Teh, audio ‘Ustaz’ yang meremehkan COVID-19 serta pengaruh golongan antivaksin.

Selain itu, masyarakat mudah terpengaruh dengan saranan-saranan perubatan yang tidak merawat COVID-19 contohnya menggunakan air kelapa dan habbatus sauda. Apa yang terjadi saranan sebegini menyebabkan masyarakat tidak segera mendapatkan khidmat rawatan saringan COVID-19 dengan segera apabila bergejala dan akhirnya menyebabkan wabak ini merebak tanpa kawalan.

Ada juga masyarakat yang masih meragui status halal vaksin walaupun hukum penggunaan vaksin COVID-19 dalam kalangan masyarakat Islam, diputuskan harus dan wajib diambil, selaras resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2021.

Keputusan ini adalah selari dengan dalil seperti firman Allah Ta’ala (yang bermaksud) ‘Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil)'( Surah Al-Baqarah ayat 195). Sebuah hadis diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, ‘Tidak boleh melakukan sesuatu yang memudaratkan dan tidak boleh memberikan mudarat kepada orang lain’ (Riwayat Ibn Majah).

Akhir kalam, setiap individu dalam masyarakat ini perlu memainkan peranan masing-masing dalam menghentikan pandemik COVID-19 ini dengan menyokong program vaksinasi kebangsaan, menghalang dan membanteras penyebaran berita palsu serta patuh pada SOP dengan penuh disiplin. Moga Allah SWT memberikan taufik dan hidayah kepada kita semua dalam menghadapi wabak COVID-19 ini dengan penuh kesabaran dan ketaqwaan dan dijauhi daripada segala akhlak buruk yang membinasakan.

Dr Mohammad Bin Sayed Sahul Hamid Gani
YDP ISMA Pasir Puteh

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button