Berita Utama

Khidmat Sukarelawan perlu jayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan

Kakitangan sedia ada semakin berkurang kerana kes bertambah

BANGI, 20 Syawal 1442H, Selasa – Perhatian sewajarnya harus diberikan kepada pengurusan logistik pemberian vaksin COVID-19, kata Dr Mohd Hafiz Zulfakar.

Pensyarah Kanan Jabatan Teknologi dan Pengajian Rantaian Bekalan, UiTM Kampus Puncak Alam itu berkata, objektif program imunisasi akan lambat tercapai sekiranya kebergantungan hanya kepada tenaga kerja yang sama daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jelasnya, inisiatif Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) hasil kerjasama antara KKM, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta Bulan Sabit Merah Malaysia (MRCS) dilihat sebagai langkah pintar menyokong sistem logistik peperangan melawan virus itu,

Di bawah inisiatif ini, katanya, sukarelawan berminat boleh turut serta mengisi dan meringankan keperluan tenaga kerja KKM.

Katanya, khidmat sukarelawan amat mulia dan sangat diperlukan bagi menjayakan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Jika inisiatif MyVac mendapat lebih lagi sokongan daripada semua lapisan masyarakat Malaysia, tidak mustahil khidmat mereka ini boleh digunakan pula di Pusat Saringan COVID-19.

“Tenaga sukarelawan MyVac boleh digembleng untuk membantu mereka yang menjalani kuarantin kendiri rumah di kawasan komuniti tempat mereka tinggal,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hafiz berkata, kakitangan sedia ada semakin berkurang ketika kes COVID-19 semakin bertambah.

Katanya, pakar epidemiologi Universiti Malaya, Prof Datuk Awang Bulgiba melalui artikel diterbitkan Berita Harian pada 21 Mei lalu berpendapat bahawa KKM ketika ini bukan sahaja berhadapan kekurangan kapasiti katil dan peralatan di unit rawatan rapi (ICU), tetapi juga dari segi kakitangan bertugas.

Tambahan pula, katanya, terdapat kakitangan yang gugur tatkala berjuang, kehabisan tenaga dan menghadapi tekanan melampau.

“Mana tidaknya, barisan ini sudah pun berjuang tanpa henti sejak awal 2020. Langkah untuk mempercepat dan memperluaskan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan membawa masuk vaksin AstraZeneca dilihat tepat untuk memperkasakan imuniti kelompok,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button