Kritik Sultan Johor, ibu selebriti akan dipanggil beri keterangan
Beberapa saksi turut dipanggil lengkapkan siasatan
SHAH ALAM, 20 Syawal 1442H, Selasa – Polis akan memanggil ibu seorang selebriti popular hari ini bagi memberi keterangan berhubung dakwaan mengkritik Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi akaun Instagram miliknya baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya juga akan memanggil beberapa saksi bagi melengkapkan siasatan.
“Kita berkemungkinan akan panggil hari ini (ibu selebriti), petang atau malam tidak tahu lagi. Itu terpulang kepada pegawai penyiasat. Tengok masa yang sesuai sebab sekarang ini (kita dalam) sekatan pergerakan penuh,” katanya yang dihubungi pemberita hari ini.
Semalam, media melaporkan kes itu sebelum ini disiasat polis Kuala Lumpur namun kemudian diserah kepada polis Selangor selepas mendapati insiden berkenaan berlaku di negeri itu.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung satu paparan di akaun Instagram milik ibu seorang selebriti popular yang didakwa mengkritik Sultan Ibrahim.
Hasil siasatan mendapati seorang wanita berumur 32 tahun mengaku telah tersilap menggunakan Instagram ibu selebriti berkenaan dengan membuat kapsyen berbentuk kritikan di Instastory akaun Instagram itu. -Bernama