Berita Utama

Tiada permintaan bubar DUN dari MB Selangor

Sultan Selangor ambil maklum dan harap agenda pembangunan diteruskan

BANGI, 16 Rabiulawal 1444H, Khamis – Tiada permintaan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari ketika menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Oktober lalu.

Perkara itu dijelaskan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhammad Munir Bani hari ini susulan mendapati terdapat beberapa kenyataan kurang tepat berhubung keputusan kerajaan negeri untuk tidak membubarkan DUN bagi mengadakan pilihan raya tahun ini.

“Sebenarnya pada 11 Oktober 2022 yang lalu, YAB Datuk Menteri Besar Selangor tidak membuat permintaan kepada KDYMM Sultan Selangor untuk membubarkan Dewan Negeri Selangor pada tahun ini dan berhasrat untuk meneruskan pentadbiran kerajaan negeri.

“Baginda Sultan Selangor mengambil maklum akan kedudukan ini dan mengharapkan agenda pembangunan negeri Selangor yang telah dirancang dapat diteruskan demi kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selasa lalu, Amirudin menegaskan kerajaan Selangor mengekalkan pendirian tidak membubarkan DUN sehingga hujung tahun ini bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor berkata, pihaknya masih kekal dengan keputusan itu selepas menyembah maklum nasihat baginda supaya menyelesaikan terlebih dulu urusan kepada rakyat negeri ini.

“Perbincangan saya bersama Sultan Sharafuddin adalah pertemuan lazim melibatkan pelbagai perkara yang perlu diselesaikan sebelum pembubaran DUN.

“Ia antaranya berkaitan soal pembangunan, banjir, bajet dan Rancangan Selangor Pertama. Maka dengan itu, PH Selangor kekal dengan keputusan tidak membubarkan DUN pada tahun ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button