Berita Utama

Pasangan suami isteri ditahan eksploitasi anak yatim

Kanak-kanak, remaja dipaksa buat kerja rumah

KUALA LUMPUR, 20 Syawal 1442H, Selasa – Sepasang suami isteri ditahan kerana disyaki mengeksploitasi kanak-kanak untuk melakukan kerja di sebuah rumah di Taman Bukit Seputeh di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, lelaki berumur 55 tahun dan isterinya yang berumur 54 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa berusia 18 tahun pada 4.10 petang semalam mengenai kes eksploitasi kanak-kanak di sebuah rumah di taman berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya berjaya menyelamatkan lima kanak-kanak dan remaja berusia lapan hingga 17 tahun yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang.

“Siasatan awal mendapati pengadu bersama 16 kanak-kanak dan remaja dari sebuah rumah anak yatim di Kulim, Kedah dibawa oleh dua suspek ke sebuah rumah di Seputeh untuk melakukan kerja rumah sepanjang hari pada 2017.

“Seramai 14 daripada 16 kanak-kanak dan remaja terbabit melarikan diri disebabkan tidak tahan melakukan kerja rumah secara paksa dan dipukul jika tidak mengikut arahan,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Anuar berkata, pengadu berjaya melarikan diri dari rumah itu kira-kira 10 pagi semalam dan datang ke balai polis untuk membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Majistret Kuala Lumpur bagi permohonan reman, hari ini, untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 atas kesalahan pemerdagangan kanak-kanak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button