Berita Utama

Pelancong sudah divaksin tak perlu dikuarantin di Arab Saudi

Pelancong belum mendapat vaksin perlu dikuarantin selama tujuh hari

JEDDAH, 20 Syawal 1442H, Selasa – Para pelancong yang telah mendapat vaksin COVID-19 penuh tidak perlu dikuarantin ketika tiba di Arab Saudi.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (GACA) bagaimanapun berkata, pelancong perlu mempunyai sijil vaksinasi yang disahkan oleh pihak berkuasa di negara asal mereka.

Pada masa sama, GACA telah menetapkan perintah kuarantin selama tujuh hari bagi pelancong asing yang belum diberi vaksin.

Vaksin yang diluluskan termasuk Pfizer-BioNTech, Moderna, Oxford-AstraZeneca dan Johnson & Johnson.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Kesihatan Dr Mohammed Al-Abd Al-Aly berkata, vaksin COVID-19 adalah selamat, selain berkesan dan diperlukan untuk perlindungan.

Beliau berkata, khabar angin dan maklumat salah mengenai vaksin telah menjadi tarikan serta menimbulkan ancaman kepada orang ramai.

Arab Saudi pada Isnin melaporkan 15 kematian baharu, menjadikan jumlah kematian keseluruhan akibat COVID-19 sebanyak 7,362.

Sebanyak 1,245 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah jangkitan sebanyak 450,436 kes.

Terdapat 9,661 kes aktif di mana 1,438 pesakit berada dalam keadaan kritikal.

Kementerian Kesihatan melaporkan seramai 1,275 pesakit telah pulih, menjadikan jumlah pulih seramai 433,431 orang.

Malah, Arab Saudi juga telah menjalankan sebanyak 19,214,578 ujian saringan COVID-19 , dengan 92,458 daripadanya dilakukan dalam tempoh 24 jam terakhir.

Seramai 14,146,363 orang telah mendapat vaksin COVID-19 setakat ini. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button