Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita UtamaDunia

Rejim Zionis sekat pesakit kanser Palestin dapat rawatan di hospital

Negara haram hanya benarkan kemasukan pesakit yang perlu ke ICU dengan ambulans, sedangkan pesakit lain makin kritikal

GAZA, 20 Syawal 1442H, Selasa – Sejak berakhirnya serangan tentera pengganas Israel di Semenanjung Gaza, pesakit dengan keperluan perubatan mendesak di kawasan itu masih menunggu keizinan rejim Tel Aviv untuk meninggalkan wilayah tersebut bagi mereka menjalani pembedahan, pemindahan atau rawatan kanser yang terganggu ekoran pertempuran baru-baru ini.

Walaupun pihak berkuasa Israel menegaskan minggu lalu akan membenarkan pesakit perubatan Palestin keluar melalui persimpangan Erez ke wilayah dijajah, mereka masih menghalang kemasukan pesakit kanser yang memerlukan kemoterapi, menurut laporan yang diterbitkan oleh akhbar harian Israel, Haaretz.

Rawatan kemoterapi hanya terdapat di Israel dan bukan di Gaza.

Doktor, keluarga dan penyokong hak asasi manusia telah mengingatkan bahawa sempadan mesti dibuka semula untuk kes perubatan sebelum pesakit menjadi kritikal atau mati.

Pakar Perubatan untuk Hak Asasi Manusia – Israel dan organisasi hak asasi manusia Palestin al-Mezan menyatakan bahawa pegawai Israel hanya membenarkan kemasukan orang yang perlu hadir ke unit rawatan intensif (ICU) dengan ambulans.

Mereka menekankan bahawa para pegawai bersetuju untuk membiarkan hanya beberapa kes terpencil melalui campur tangan Pihak Berkuasa Palestin (PLO) dan organisasi lain.

Salah seorang pesakit yang tidak dibenarkan masuk adalah pesakit kanser dari bandar Gaza, yang digelar Souad, kerana nama sebenarnya dirahsiakan atas permintaannya.

Souad mempunyai keizinan jarak jauh yang membolehkannya masuk lebih kerap supaya dia dapat dirawat di hospital Augusta Victoria di Baitulmaqdis Timur yang diduduki. Rawatannya merangkumi kemoterapi.

Wanita Palestin itu datang ke persimpangan Erez pada Selasa lalu dalam perjalanan untuk menerima rawatan, tetapi tidak dibenarkan masuk. Dia mencuba sekali lagi pada hari Ahad, tetapi ditolak.

“Isteri saya sakit parah kerana penyakit kanser dan keadaannya semakin buruk. Kali pertama kami datang, kami menunggu tiga jam, setelah itu kami diberitahu bahawa kami tidak dapat meneruskannya.  

“Pada hari Ahad, mereka menolak kami masuk lagi. Isteri saya mempunyai rawatan biologi dan kemoterapi untuk barahnya dan setiap kelewatan memburukkan keadaannya,” kata suaminya kepada Haaretz.

Manakala dalam kes lain pula, seorang nelayan dari selatan Gaza, Hussein Najjar, mengatakan ibunya yang berusia 61 tahun menjadi semakin lemah dan tertekan sejak kehilangan rawatan kemoterapi biasa di Hospital Augusta Victoria kerana kanser kolorektal dan paru-paru.

Situasi keluarga itu menjadi lebih sukar setelah bot Najjar musnah bersama dengan beberapa yang lain ketika peluru berpandu Israel menyerang sebuah pelabuhan ketika pengeboman sebelum ini, katanya.

Keluarganya yang terdiri daripada tujuh orang, termasuk ayah dan ibunya yang sakit, masih hidup dengan sumbangan bulanan kira-kira $50 sebulan daripada Oxfam International, katanya.

Pegawai kesihatan juga bimbang dengan krisis COVID-19 di Semenanjung Gaza memandangkan satu-satunya makmal ujian COVID-19 kini tidak dapat digunakan kerana kerosakan yang disebabkan oleh serangan udara Israel yang menghancurkan bangunan berhampiran semasa serangan selama 11 hari di wilayah tersebut.

Sekurang-kurangnya 253 orang rakyat Palestin, termasuk 66 kanak-kanak, terbunuh dalam pengeboman Israel di Semenanjung Gaza dalam 11 hari konflik yang bermula pada 10 Mei. 

Serangan udara Israel juga membawa kehancuran meluas ke wilayah miskin itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button