Berita Utama

Sindiket pelaburan saham, judi dalam talian tumpas

Lapan orang termasuk empat warga China ditahan

KUALA LUMPUR, 20 Syawal 1442H, Selasa – Polis menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan saham dan judi dalam talian selepas memberkas lapan orang termasuk empat warga China dalam serbuan di empat apartment di Jalan Tun Razak, di sini semalam.

Semua yang ditahan dalam serbuan pada kira-kira 4.30 petang itu terdiri daripada empat wanita tempatan, dua wanita dan dua lelaki masing-masing warga China berusia lingkungan 21 hingga 31 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Saiful Annuar Yusoff berkata, sindiket berkenaan mempromosikan kegiatan perjudian dalam talian tanpa lesen serta penipuan pelaburan saham dan dipercayai mampu meraih keuntungan bulanan sebanyak kira-kira RM300,000.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati premis itu beroperasi sebagai pusat panggilan dengan bayaran sewa RM10,000 sebulan bagi setiap unit, setiap pekerja pula menerima upah antara RM3,000 dan RM3,500 sebulan.

“Polis turut merampas 17 komputer riba, lima monitor, tujuh set Unit Pemprosesan Pusat, tiga papan kekunci, sembilan unit tetikus, 55 telefon bimbit pelbagai jenama, tiga modem, lapan keping kad ATM, tiga keping simkad dan sebuah mesin pengira wang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saiful Annuar berkata, jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM300,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button