Surat MITI akan dilengkapi kod QR: Bukit Aman
Usaha elakkan pemalsuan surat kebenaran syarikat beroperasi

KUALA LUMPUR, 20 Syawal 1442H, Selasa – Bagi mengelakkan pemalsuan surat kebenaran syarikat beroperasi, surat yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan dilengkapi dengan kod respon pantas (QR).
SAC Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, SAC M V Srikumar M Nair berkata, kod berkenaan akan diimbas oleh polis di sekatan jalan raya bagi memastikan ia adalah tulen.
“Apabila kod berkenaan diimbas (pautan berkenaan) akan meminta satu nombor kod yang mana hanya pihak polis sahaja mempunyai kod tersebut. Apabila kita memasukkan nombor kod itu, maka kita akan dapat tahu sama ada surat itu betul tally (selaras) dengan pemegang surat,” katanya kepada Bernama semasa hadir menjadi tetamu dalam Ruang Bicara PDRM di sini malam tadi.
Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan wujudnya layanan dwistandard terhadap kebenaran merentas negeri dan daerah terhadap mana-mana individu atau kumpulan seperti mana yang didakwa sesetengah pihak.
“PDRM tidak melihat golongan kayangan atau sebaliknya…jika mempunyai dokumen yang sah dan bukti (kukuh), maka (permohonan rentas daerah atau negeri) adalah dibenarkan,” katanya. – Bernama