Berita UtamaDunia

Varian COVID-19 kini ditukar nama kepada Alpha, Beta, Gamma dan Delta

WHO bimbang salah lapor jika guna nama terlalu rumit

GENEVA, 20 Syawal 1442H, Selasa – Varian COVID-19 diberikan nama baharu dalam usaha untuk mempermudah perbincangan, mengeluarkan kenyataan serta mengelakkan stigma.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan nama baharu, susulan kritikan selepas nama yang diberikan oleh saintis seperti varian Afrika Selatan yang disebut dengan beberapa nama termasuk B1351, 501Y.V2 dan 20H / 501Y.V2 terlalu rumit.

Oleh itu, keempat varian COVID-19 yang dianggap membimbangkan oleh agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan diketahui umum oleh masyarakat sebagai varian United Kingdom (UK), Afrika Selatan, Brazil dan India kini telah diberi nama Alpha, Beta, Gamma, Delta.

Varian UK kini dikenali sebagai varian Alpha, Afrika Selatan sebagai Beta, Brazil sebagai Gamma dan India sebagai Delta.

Varian baharu lain akan meneruskan abjad Yunani itu mengikut susunan.

“Walaupun nama varian asal mempunyai kelebihan, namun nama ilmiah ini sukar disebut dan diingat, dan cenderung untuk salah lapor,” kata WHO, menjelaskan keputusan itu.

Pilihan abjad Yunani ini muncul setelah perbincangan selama berbulan-bulan di mana kemungkinan lain seperti Dewa Yunani dan nama pseudo-klasik turut dipertimbangkan oleh pakar, menurut ahli bakteriologi Mark Pallen yang terbabit dalam perbincangan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button