Berita Utama

Ambil serius jangkitan COVID-19 ke atas kanak-kanak bawah 18 tahun

COVID-19 beri kesan kepada jantung meskipun individu ada gejala ringan

KUALA LUMPUR, 21 Syawal 1442H, Rabu – Jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah perlu ditangani dengan serius, kata Prof Dr Sazaly Abu Bakar.

Pakar Virologi Universiti Malaya (UM) itu berkata, hal berkenaan penting berikutan kesan jangka panjang wabak itu terhadap tumbesaran dan perkembangan mereka masih belum diketahui menerusi kajian tertentu.

Beliau berkata, kesan terhadap jantung, pencapaian akademik dan tahap daya tahan penyakit antara kerisauan yang muncul.

“Walaupun kanak-kanak ini pulih atau nampak segar, kita belum tahu apa kesan jangka panjang. Maksud saya selepas lima, 10, 20 atau 30 tahun akan datang.

“Mungkin ia boleh menjejaskan pencapaian akademik, merosakkan organ tertentu atau menyebabkan kurang daya tahan penyakit kerana mereka masih dalam fasa pembesaran. Kesan jangka panjang sebeginilah yang kita takuti,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 82,341 kes COVID-19 dikesan dalam kalangan individu berusia bawah 18 tahun, bagi tempoh antara 25 Januari hingga 30 Mei lalu.

Sebanyak 19,851 kes membabitkan bayi berusia bawah empat tahun manakala sebanyak 8,237 kes merangkumi kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun, katanya.

“Kementerian Kesihatan (KKM) juga merekodkan 26,851 kes dan 27,402 kes, masing-masing bagi individu berusia tujuh hingga 12 tahun serta 13 hingga 17 tahun,” kata Dr Noor Hisham.

Mengulas lanjut, Dr Sazaly berkata, kajian mengenai kesan jangka panjang juga masih belum lengkap disebabkan COVID-19 adalah virus yang baru setahun lebih dikesan selain sifatnya yang bermutasi dengan cepat.

Katanya, Amerika Syarikat (AS) mempunyai laporan yang menyatakan meskipun seseorang individu dijangkiti COVID-19 dengan gejala ringan, namun ia memberi kesan kepada jantung.

“Di AS, data-data menunjukkan atlet yang dijangkiti sudah tidak mempunyai daya tahan yang kuat. Dijangkakan ada jangkitan jantung yang tak dapat dikesan sebelum ini.

“Jadi ingatan saya kepada ibu bapa, jika anda sayangkan anak-anak, lindungilah mereka. Jangan dedahkan diri kepada risiko jangkitan,” tegasnya.

Ditanya mengenai keperluan memberikan vaksin kepada kanak-kanak 18 tahun ke bawah, Dr Sazaly berkata, kesesuaiannya masih dalam kajian bagi mengenal pasti apakah kesan sampingan.

Katanya, beliau difahamkan AS bakal memulakan vaksinasi COVID-19 kepada kanak-kanak, namun ia terhad kepada yang berusia 12 tahun ke atas.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button