Henti budaya mula kerja setelah didesak rakyat
Perkid harap pemimpin terus diberi hidayah tutup pintu kemungkaran

BANGI, 21 Syawal 1442H, Rabu – Pemimpin di negara ini digesa untuk menghentikan budaya memulakan sesuatu pekerjaan setelah didesak oleh rakyat.
Menyuarakan pandangan itu, Presiden Persatuan Kebajikan Darul Islah (Perkid), Ustaz Masridzi Sat berharap supaya pemimpin yang beriman di negara ini terus diberi hidayah oleh Allah SWT untuk lebih tegas selain berani menutup satu persatu pintu kemungkaran.
“Semoga perintah standard operasi prosedur (SOP) Allah SWT yang mahu tugas amar makruf nahi munkar mesti dilaksanakan serentak oleh kerajaan yang berkuasa dapat dilaksanakan sebaiknya.
“Agar bala bencana yg menimpa negara kita dapat diangkat kembali oleh Allah SWT, amin ya robbal alamin,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, kerajaan memutuskan semua kilang minuman keras di seluruh negara ditutup serta-merta sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh.
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun kebenaran beroperasi diberikan kepada kilang berasaskan makanan dan minuman, namun ia hanya untuk keperluan asas sahaja.