Berita Utama

Kabinet tubuh jawatankuasa khas misi bantuan kemanusiaan di Palestin

NGO mahu laksana misi bantuan perlu buat permohonan melalui 2 kementerian

KUALA LUMPUR, 21 Syawal 1442H, Rabu – Kabinet hari ini menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas bagi menyelaras misi bantuan kemanusiaan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk Palestin.

Jawatankuasa itu yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Hamzah Zainudin antara lain bertanggungjawab membuat semakan latar belakang NGO-NGO sebelum mereka dibenarkan membuat permohonan.

Menurut kenyataan bersama Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Takiyuddin, jawatankuasa itu juga akan mengkoordinasi semua permohonan NGO di bawah satu Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sama.

“Dengan ketetapan ini, ia bermakna bahawa setiap NGO yang mahu melaksanakan misi bantuan kemanusiaan ke Palestin hendaklah membuat permohonan hanya melalui dua kementerian yang mempengerusikan Jawatankuasa Khas ini,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, Kabinet bersetuju agar Kementerian Luar membantu memudahkan perjalanan NGO-NGO ke Palestin hanya apabila permohonan mereka telah diluluskan dan buat masa ini mereka dinasihatkan melakukan perjalanan ke Palestin hanya melalui dua negara, iaitu Mesir dan Jordan.

“Kementerian Luar akan menumpukan terhadap koordinasi dengan semua negara terlibat supaya NGO-NGO yang melaksanakan misi bantuan kemanusiaan ini mematuhi setiap SOP serta peraturan yang ditetapkan negara-negara tuan rumah,” katanya.

Menurut kenyataan itu, persetujuan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas berkenaan dibuat pada Mesyuarat Kabinet secara maya yang dipengerusikan Perdana Menteri pagi tadi.

Ia berkata kerajaan mengambil maklum bahawa banyak NGO di negara ini berhasrat melaksanakan misi bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin terutamanya di Gaza susulan gencatan senjata pada 21 Mei.

“Memahami bahawa misi bantuan kemanusiaan sememangnya usaha yang amat murni serta sangat diperlukan oleh rakyat Palestin ketika ini, maka ia telah dibincangkan secara teliti sewaktu Mesyuarat Kabinet secara maya yang dipengerusikan Perdana Menteri pagi ini,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button