Pencabulan ruang angkasa negara membimbangkan, timbulkan pelbagai persoalan
Masih tiada penjelasan daripada Duta Besar China sehingga hari ini

BANGI, 21 Syawal 1442H, Rabu – Pencabulan ruang angkasa Zon Maritim Malaysia (ZMM) Kota Kinabalu yang dilakukan 16 buah pesawat tentera udara milik China iaitu Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) pada Isnin (31 Mei) tidak boleh dipandang ringan.
Mantan Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Haji Omar Kassim menegaskan, kedaulatan angkasa atau ‘Air Sovereignty’ adalah hak asas sebuah negara berdaulat.
“Kejadian di ruang udara negara melibatkan pencabulan 16 pesawat PLAAF seperti dilaporkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) adalah amat membimbangkan.
“Timbul pelbagai persoalan mengapa pesawat-pesawat ini terbang dalam formasi taktikal dengan jarak 60 batu nautikal antara satu sama lain, seperti dilaporkan TUDM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, respon Wisma Putra dengan menghantar notis diplomatik kepada kerajaan China mengenai isu ini disambut baik, bagaimanapun ia perlu disusuli dengan tuntutan penjelasan dan permohonan maaf daripada China.
“Duta Besar China telah dipanggil tetapi masih belum kelihatan sebarang penjelasan berkaitan ini,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, tindakan TUDM melakukan Operasi Curiga untuk memintas mana-mana pesawat asing yang tidak dikenali masuk ke ruang angkasa Malaysia dilihat bersifat reaktif dan seharusnya menjadi antara program cegah rintang yang berterusan dan diperhebatkan.
“Sistem cegah rintang ini sepatutnya berlaku sebelum pesawat berkenaan masuk ke ruang udara Malaysia dengan sistem dan teknologi pengesan lebih terkini dan tindakan lebih segera.
“Adalah sudah terlambat jika mereka sudah masuk dan kita tidak mengetahui jumlah maklumat yang telah diperoleh.
“Timbul persoalan jika adakah lagi pesawat tentera atau pesawat dan dron pengintip yang turut lepas masuk ke ruang udara Malaysia.
“Bagaimana dengan sistem pengesanan kita dan adakah kita merekodkan jumlah pencabulan yang berlaku?,” katanya lagi.
Ustaz Omar berkata, tidak dapat dinafikan kejadian terbaharu ini membuka banyak persoalan yang perlu diperjelaskan.
“Bajet pertahanan kita berjumlah sekitar RM15 billion pada 2020 amat jauh dan kecil berbanding negara lain seperti India USD 65 billion dan Australia sekitar USD 26 billion.
“Ini juga perlu mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya dalam perancangan dan strategi pertahanan negara,” katanya.
Terdahulu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad dalam satu kenyataan, memaklumkan TUDM memintas 16 pesawat PLAAF yang dikesan menceroboh ZMM Kota Kinabalu (KK) IFR kelmarin.
Pesawat berkenaan yang dikesan Radar Pertahanan Udara TUDM dari Pusat Pertahanan Udara Sarawak pada jam 11.53 pagi, terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika antara satu sama lain.
Beberapa arahan supaya pesawat berkenaan menghubungi kawalan trafik udara KK IFR tidak dipatuhi, sekali gus TUDM melancarkan pesawat pemintas pada jam 1.33 tengah hari untuk melakukan identifikasi visual.