Berita UtamaDunia

Selepas 14 bulan, Algeria buka kembali sektor penerbangan

Jumlah penerbangan terhad, syarat ketat ke atas penumpang

ALGIERS, 21 Syawal 1442H, Rabu – Algeria memutuskan untuk membuka kembali sebahagian daripada sektor penerbangan komersialnya setelah penutupan selama 14 bulan akibat wabak COVID-19.

Penerbangan pertama kapal terbang nasional, Air Algérie, berlepas ke Paris semalam sebelum mendarat semula di ibu negara Algeria, Algiers.

Pembukaan semula sektor penerbangan itu dilakukan dengan langkah berjaga-jaga, di mana jumlah penerbangan adalah terhad dan syarat ketat juga dikenakan ke atas penumpang.

Penumpang yang menuju ke Algiers perlu mempunyai keputusan negatif ujian saringan COVID-19 dalam tempoh kurang dari 36 jam sebelum menaiki kapal terbang.

Pada masa sama, semua penumpang juga perlu menjalani kuarantin selama lima hari di hotel yang disenaraikan.

Selain itu, semua kos penginapan dan makanan di hotel harus ditanggung oleh penumpang, selain perlu mempunyai keputusan negatif COVID-19 sebelum meninggalkan hotel.

Sementara itu, meskipun terdapat beberapa penumpang menyambut baik langkah kerajaan itu, tidak kurang juga ada yang mengeluh.

“Saya tidak berpuas hati. Kami melakukan ujian saringan kali pertama dan perlu melakukannya sekali lagi untuk keluar.

“Saya datang untuk percutian selama 20 hari dan saya akan kehilangan lima hari semata-mata untuk kuarantin tanpa sebarang masalah, “ kata Faouzi Mohamed, seorang pelajar di Perancis yang kembali ke Perancis untuk bercuti.

Setakat ini, jumlah penerbangan dan destinasi mingguan terhad kepada lima bandar: Paris dan Marseille di Perancis, Barcelona di Sepanyol, ibu negara Tunisia iaitu Tunis serta Istanbul, Turki.

Malah, syarikat penerbangan lain seperti Tunisair dan Air France dijangka menambah jumlah penerbangan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button