Berita Utama

Terengganu lancar BERKAT 3.0 bantu rakyat terkesan ‘lockdown’

Bantuan secara bersasar berjumlah RM200,000 bagi setiap DUN: MB

BANGI, 21 Syawal 1442H, Rabu – Kerajaan Terengganu melancarkan program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0 (BERKAT 3.0) dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM6.4 juta.

Program bantuan berkenaan telah diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini, susulan merasakan penguatkuasaan ‘total lockdown’ yang bermula 1 Jun mungkin berlanjutan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, BERKAT 3.0 akan diberikan secara bersasar yang berjumlah RM200,000 bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kerajaan negeri Terengganu juga bersetuju memberi penangguhan atas sewaan premis perniagaan milik kerajaan negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bulan Jun dan Julai 2021.

“Ianya tertakluk kepada premis perniagaan yang terkesan akibat penutupan ekonomi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0, dan premis-premis dengan kadar sewa tidak melebihi kadar sewaan RM5,000 sebulan kecuali sewaan tapak menara telekomunikasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, peminjam Yayasan Terengganu yang berpendapatan bawah RM2,500 diberi pilihan untuk memohon moratorium selama tiga bulan.

Selain itu, kerajaan negeri juga bersetuju memotong sebulan gaji Menteri Besar dan Exco untuk dimasukkan ke dalam Tabung COVID-19 Terengganu.

“Penjawat awam juga turut bersama menyumbang melalui potongan elaun mereka. Setiap usaha kerajaan negeri adalah sebagai nilai tambah untuk mengurangkan impak sosio-ekonomi rakyat yang terkesan ketika ini.

“Saya juga menyeru agar semua rakyat Terengganu bersatu hati dalam tempoh kritikal ini, kerana setiap langkah dan pematuhan arahan dan SOP amatlah signifikan untuk mengatasi pandemik COVID-19 yang semakin serius,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button