Berita Utama

3 maut, 27 kanak-kanak di ICU setakat Mei

19 kes adalah kanak-kanak berumur bawah 5 tahun

BANGI, 22 Syawal 1442H, Khamis – Tiga kes kematian akibat COVID-19 membabitkan kanak-kanak bawah 5 tahun dilaporkan sepanjang tahun 2020, menurut Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Lebih membimbangkan, Ketua Pengarah Kesihatan berkata, bilangan sama juga direkodkan dalam tempoh lebih singkat iaitu pada lima bulan pertama tahun ini.

Pada masa sama, beliau berkata, jumlah kes kanak-kanak yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menunjukkan peningkatan ketara.

“Pada tahun 2020, jumlah keseluruhan kes pediatrik yang menerima rawatan di ICU adalah sebanyak lapan kes, di mana enam daripadanya berumur bawah 5 tahun.

“Manakala bagi tahun 2021 (sehingga Mei 2021), sebanyak 27 kes kanak-kanak memerlukan rawatan di ICU dan daripada jumlah itu, 19 kes adalah kanak-kanak berumur bawah 5 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Serentak itu, Dr Noor Hisham menggesa semua pihak untuk mengambil berat situasi itu, kerana menyifatkan kanak-kanak sebagai kumpulan yang perlu dilindungi.

“Masyarakat terutamanya ibu bapa dan penjaga dapat memainkan peranan penting bagi melindungi mereka yang mempunyai imuniti yang rendah seperti bayi dan kanak-kanak agar terhindar dari virus COVID-19.

“Binalah persekitaran yang selamat bagi mereka dengan mematuhi sepenuhnya semua SOP sedia ada dan segeralah dapatkan vaksin bagi golongan dewasa yang layak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button