Berita UtamaIstimewa

Dakwaan diskriminasi kilang arak tak berasas!

Kerajaan jangan tunduk tekanan mana-mana pihak, tegas pertahan keputusan dibuat

BANGI, 22 Syawal 1442H, Khamis – Semua pihak perlu mendukung arahan penutupan kilang minuman keras di seluruh negara dan bukannya mempertikaikan keputusan kerajaan.

Menegaskan perkara itu, Ketua Penerangan BERJASA Malaysia, Hazwan Mohamad berkata, pihak kerajaan juga didesak untuk tidak tunduk kepada tekanan daripada mana-mana pihak serta perlu mempertahankan keputusan yang telah dibuat.

Beliau mengecam kenyataan Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) bahawa tidak sepatutnya wujud diskriminasi oleh pihak berwajib ketika memutuskan sektor mana yang perlu dibenar beroperasi sepanjang penutupan penuh.

Hazwan menyifatkan kenyataan sedemikian sebagai tidak berasas sama sekali kerana industri arak tidak dikategorikan sebagai ‘essential sector’ dan amat tidak munasabah sekiranya dikategorikan sebagai perlu.

“BERJASA ingin mengingatkan bahawa industri arak telah membawa banyak keburukan. Ribuan nahas telah direkodkan dengan menatijahkan ribuan kematian.

“Lebih menyedihkan saban tahun kita dihidangkan dengan kes kematian mangsa yang tidak bersalah akibat daripada perbuatan pemandu mabuk,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Hazwan berkata, arak secara saintifiknya telah dibuktikan membawa banyak kemudaratan terhadap sistem kesihatan badan manusia.

“Disebabkan itu tidak peliklah hampir semua agama mengharamkan arak kepada setiap penganutnya,” katanya.

Terdahulu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan semua kilang minuman keras di seluruh negara diarah tutup serta-merta sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh fasa pertama.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun kebenaran beroperasi diberikan kepada kilang-kilang yang berasaskan makanan dan minuman, namun ia hanyalah untuk keperluan asas.

Oleh itu katanya, kilang minuman keras tidak termasuk dalam kategori keperluan asas.

Bagaimanapun semalam, Pengarah eksekutif MICCI, Shaun Cheah berkata, tidak sepatutnya wujud ‘diskriminasi dari segi definisi mahupun sentimen’ meskipun dewan itu membenarkan pengambilan minuman beralkohol dan gula tinggi secara bertanggungjawab.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button