Berita Utama

Menteri maklum rungutan pengguna isu kelewatan penerbangan AirAsia

KPDNHEP, Kementerian Pengangkutan akan kerjasama bagi merungkai masalah

BANGI, 8 Syawal 1443H, Isnin – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau mengambil maklum mengenai rungutan, aduan dan keluhan disuarakan pengguna berhubung kelewatan penerbangan AirAsia, membabitkan pelbagai destinasi dalam negara.

Beliau berkata, kelewatan penerbangan AirAsia sudah dikesan berlaku sejak penghujung bulan April, dan masih berlarutan hingga kini.

Berikutan itu, KPDNHEP akan terus menjalankan siasatan bagi sisi kepentingan pengguna, dan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan bagi merungkai permasalahan tersebut demi memastikan ia tidak berlanjutan dan berulang.

Dalam pada itu, Nanta berkata, bagi makluman pengguna perkhidmatan penerbangan, mereka berhak menuntut pampasan (tertakluk kepada beberapa faktor) bagi meneruskan perjalanan.

“Bergantung kepada punca penundaan atau pembatalan, berdasarkan maklumat daripada mavcom.my, pampasan ini mungkin merangkumi makanan, panggilan telefon, dan akses internet (bagi penangguhan selama 2 jam atau lebih).

“.. penginapan hotel dan pengangkutan (untuk penangguhan selama 5 jam atau lebih); dan pembayaran balik secara penuh atau penerbangan alternatif (jika penerbangan anda dibatalkan),” katanya lagi.

Beliau berkata, satu-satunya pengecualian (bagi mendapatkan pampasan) adalah apabila berlakunya suatu ‘keadaan luar biasa’ yang termasuk risiko keselamatan atau cuaca ekstrem, yang mana syarikat penerbangan tidak dapat menjangkanya.

“Jika anda berpandangan bahawa anda tidak menerima pampasan sewajarnya, sila kemukakan aduan rasmi kepada syarikat penerbangan tersebut sebelum anda menghubungi MAVCOM,” katanya lagi.

Terdahulu, orang ramai meluahkan kekecewaan terhadap perkhidmatan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia yang dioperasikan oleh Capital A Berhad.

Lebih ketara di musim perayaan ini, ramai pelanggan mengadu berdepan dengan masalah kelewatan, pembatalan atau penjadualan semula penerbangan mereka dalam notis yang singkat.

Masalah ini telah menyukarkan pelanggan yang telah pun merancang perjalanan mereka sebaik mungkin sebelum perjalanan, bahkan terdapat antara mereka yang terpaksa membeli tiket dengan harga lebih tinggi demi mendapatkan waktu penerbangan ideal.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button