Berita Utama

Kastam tumpaskan dua cubaan seludup minuman keras bernilai lebih RM1.3 juta

Orang awam diminta bekerjasama salur maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan

SHAH ALAM, 22 Syawal 1442H, Khamis – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan dua cubaan menyeludup minuman keras di Pelabuhan Klang pada 3 Mei dan 29 Mei lalu yang dianggarkan melibatkan cukai bernilai lebih RM1.3 juta.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan dalam satu kenyataan berkata, kes pertama melibatkan nilai rampasan RM115,380 dengan kuantiti 23,076 liter minuman keras dan cukai dianggarkan berjumlah RM1.071 juta.

“Pasukan penguatkuasaan telah menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah kontena dan menemui minuman keras berjenama Strong Southan yang dipercayai belum lulus kastam,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat dalam Bill of Lading (bil muatan), barangan tersebut dinyatakan sebagai ‘Stainless Steel Welded Pipe’ dan kes tersebut sedang disiasat bagi mengetahui syarikat atau ejen penghantaran yang terbabit untuk tindakan lanjut.

Zazuli berkata, kes kedua pula membabitkan rampasan sebuah kontena dengan anggaran nilai RM110, 880 membabitkan kuantiti sebanyak 22,176 liter minuman keras serta jumlah duti atau cukai yang terlibat dianggarkan RM346,500.

Menurutnya hasil pemeriksaan ke atas kontena tersebut, pihak penguatkuasaan menemui minuman keras berjenama Tiger Beer Lager 5% ALC yang dipercayai belum lulus kastam.

“Barangan ini telah diikrar sebagai Castor Wheel dengan menggunakan Borang Kastam 1 dan minuman keras diklasifikasikan sebagai barang dagangan terlarang di bawah Butiran 3, Jadual Ketiga/Bahagian III, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017,” katanya menambah ejen perkapalan yang terlibat sudah dikenal pasti.

Beliau berkata, kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah seksyen 135 (1)(g) Akta Kastam 1967 iaitu cubaan mengelakkan dengan fraud duti kastam serta mengelakkan larangan import.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Zazuli berkata, kes tersebut juga disiasat di bawah Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1975 iaitu cuba mengelakkan dengan fraudan duti eksais yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti eksais atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali amaun duti eksais atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

JKDM menyeru kepada orang awam bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri, dan pihak JKDM memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button