Berita Utama

Kerajaan PN masih goyah, belum ada hala tuju jelas

Sukar jadi gabungan kukuh untuk tempoh jangka panjang

BANGI, 22 Syawal 1442H, Khamis – Biarpun sudah lebih setahun Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara, namun kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat masih goyah.

Ini kerana, ketiadaan parti yang betul-betul dominan di dalam PN menyebabkan kedudukan gabungan itu menjadi tidak stabil, kata pemerhati politik, Ustaz Sharipudin Ab Kadir.

Bahkan, ketidaktentuan sokongan sebahagian Ahli Parlimen UMNO juga menjadi antara punca untuk PN sukar menjadi sebuah gabungan yang kukuh bagi tempoh jangka panjang, katanya.

“Parti UMNO mungkin agak ramai Ahli Parlimen Melayu, tetapi sokongan mereka berbelah bahagi kerana mereka mendakwa kebersamaan dalam Muafakat Nasional hanya membabitkan UMNO dan PAS.

“Penyertaan Ahli Parlimen UMNO dalam PN bukan sepenuhnya. Seolah-olah dalam UMNO ada yang menjadi pembangkang PN dan menjadi anggota kerajaan,” katanya.

Sementara bagi PAS pula, Ustaz Sharipudin menyifatkan kewujudan parti itu sebagai rakan komponen PN seolah-olah hanya ‘menurut’ sahaja keadaan semasa.

“Mereka (PAS) akan memberi alasan ini zaman untuk membuat kerja kerana sudah menjadi kerajaan, bukan lagi zaman membangkang.

“Sebab itu, keadaan PN hari ini seolah-olah terumbang-ambing dan tiada hala tuju yang jelas,” katanya yang mengulas prestasi kerajaan PN sehingga kini.

Pada masa sama, beliau turut kecewa dengan keadaan parti politik Melayu hari ini baik di pihak kerajaan atau pembangkang yang tiada hala tuju.

“Pembangkang hanya menunggu untuk menjatuhkan kerajaan yang ada , sementara kerajaan tidak dapat meneruskan agenda kerana tiada kekuatan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button