Berita Utama

Kerajaan suka ‘flip flop’ punca ada bantahan tutup kilang arak

Pelik, semacam kebal pula industri arak di negara kita

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 22 Syawal 1442H, Khamis – Kerajaan sepatutnya bersikap tegas daripada awal lagi dalam menetapkan keputusan berhubung perkhidmatan ‘essential’ ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh fasa pertama ini.

Ini tidak, selepas tularnya surat kebenaran kilang arak dibenarkan beroperasi  – sehingga mendapat kecaman rakyat – kerajaan terus ‘gelabah’ menukar arahan baharu. 

Maka, tidak hairanlah bantahan terhadap keputusan menutup kilang minuman keras timbul, puncanya daripada sikap ‘flip flop’ kerajaan sendiri sepanjang pengurusan beberapa siri PKP.

Demikian tegas Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni sebagai mengulas bantahan Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) terhadap penutupan operasi kilang arak di seluruh negara sepanjang ‘total lockdown’ ini.

Beliau berkata, sikap kerajaan dalam hal itu memberi ruang kepada pemain industri untuk memohon pengecualian dan memanipulasi prosedur operasi standard (SOP), bahkan sehingga melanggar arahan penutupan.

“Jika diperhatikan isu-isu lain yang berkaitan arak, jelas semacam ada satu kekebalan kepada industri arak di negara kita.

“Kes orang mabuk langgar mati berlaku beberapa kali, tetapi tidak nampak satu usaha untuk menggubal undang-undang yang lebih ketat terhadap pemabuk,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Ustaz Muhammad Fauzi berkata, arak bukan hanya larangan di dalam agama Islam, bahkan jelas minuman itu memudaratkan banyak pihak bukan Islam.

Sebelum ini, Pengarah Eksekutif MICCI, Shaun Cheah berkata, pihak berkuasa sepatutnya tidak mendiskriminasi minuman beralkohol ketika memutuskan untuk menentukan sektor mana yang dibenarkan beroperasi ketika PKP.

Malah dia mendakwa, minuman beralkohol juga wajar dikategorikan sebagai satu kepeluan seiring dengan minuman bergula dan berkafein yang lain.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button