Pelarian Rohingya perlu diberi akses pendidikan, kerja
Kem pelarian Cox's Bazar tempatkan lebih 1.2 juta etnik minoriti

DHAKA, 22 Syawal 1442H, Khamis – Bangladesh harus memastikan anak-anak dan golongan muda etnik Rohingya mendapat akses pendidikan dan peluang meneruskan hidup, kata pegawai tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Perkara itu dinyatakan wakil Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) ketika pertemuan dengan Menteri Luar Bangladesh, A.K Abdul Momen di Dhaka, hari ini.
Penolong Pesuruhjaya Operasi UNHCR, Raouf Mazou dan Pesuruhjaya Tinggi bagi Perlindungan, Gillian Triggs tiba di ibu negara itu pada Ahad untuk lawatan empat hari bagi membincangkan isu berkaitan pelarian Rohingya.
Dua wakil PBB itu mengadakan kunjungan ke pulau Bhasan Char di Teluk Bengal selatan Bangladesh pada Isnin untuk meninjau keadaan hampir 200,000 pelarian Rohingya di kawasan itu, selain sempat melawat kem Cox’s Bazar.
Menyifatkan pulau terpencil itu sebagai penjara terbuka, banyak organisasi antarabangsa termasuk Human Rights Watch menentang penempatan semula etnik Rohingya di sana.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Bangladesh mendakwa langkah itu penting memandangkan keadaan penempatan sesak di kem pelarian Cox’s Bazar yang menempatkan lebih 1.2 juta orang.
Merujuk keadaan di Bhasan Char, Triggs menyifatkan etnik Rohingya di Bangladesh wajar memiliki kehidupan yang lebih baik menerusi peluang pendidikan dan kerja.
“Jika golongan rentan seperti Rohingya tiada pendidikan dan anak-anak habiskan masa di jalanan tanpa pendidikan, mereka tidak akan ada masa depan.
“Kita juga tidak mahu mereka (etnik Rohingya) tiada peluang pekerjaan sehingga menyebabkan ramai mereka menganggur,” kata Triggs.- Agensi