Berita UtamaDunia

Pengarah UNRWA di Semenanjung Gaza diisytihar persona non grata

Rakyat Palestin berang Matthias Scmale puji serangan Israel baru-baru ini

BAITULMAQDIS, 22 Syawal 1442H, Khamis – Kumpulan hak asasi manusia Palestin mengisytiharkan Pengarah Agensi Kerja dan Bantuan Palestin (UNRWA) di Semenanjung Gaza sebagai persona non grata serta mengusirnya dari wilayah itu.

Pengusiran itu dilakukan ke atas Matthias Schmale berikutan tindakannya yang memuji rejim negara haram Israel terhadap serangan di Palestin baru-baru ini.

Kumpulan berkenaan berkata, Schmale adalah antara punca utama penderitaan ribuan pelarian Palestin dan pekerja UNRWA di Semenanjung Gaza.

Schmale juga diharamkan untuk menjejakkan kaki ke wilayah berkenaan.

Pada masa sama, Timbalan Pengarah UNRWA, David de Bold juga diisytiharkan sebagai persona non grata.

Kumpulan hak asasi terbabit turut menggesa agensi Pertubuhan-Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melantik pengarah baharu di wilayah yang diduduki Israel itu.

Persona non grata adalah individu yang tidak dapat diterima oleh sesebuah negara selama-lamanya setelah didapati bersalah melakukan kesalahan (jenayah) yang tidak dapat dimaafkan (berat) ketika dia berada di sesebuah negara.

Sementara itu, Channel 12 TV Israel melaporkan bahawa Schmale dan de Bold telah meninggalkan Semenanjung Gaza pada Rabu.

Jurucakap UNRWA berkata, Schmale telah dipanggil ke Baitulmaqdis untuk melakukan rundingan dengan pegawai PBB serta memutuskan untuk mengambil cuti seketika.

Jurucakap itu berkata, de Bold pula akan meneruskan tugasnya dari jarak jauh, manakala Timbalan Pesuruhjaya Jeneral Leni Stenseth akan menjalankan tugasnya di pejabat dekat Gaza secara sementara.

Menerusi temu bual bersama Channel 12 pada 23 Mei lalu, Schmale berkata, serangan udara Israel di Gaza selama 11 hari dilakukan dengan kecanggihan dan ketepatan.

Schmale mendakwa, Gaza tidak mengalami kekurangan bekalan air, makanan serta ubat-ubatan akibat penutupan sempadan oleh Israel ketika ini.

Kenyataan itu telah menimbulkan kemarahan rakyat Palestin, ditambah pula Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menyifatkan perkara itu adalah tidak benar dan hanya memihak kepada rejim pengganas Israel. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button