Berita Utama

PAS tak cukup ahli bantu kempen Dominic di Bayan Lepas

Bukan boikot, tapi Presiden Gerakan perlu bawa jentera sendiri

GEORGE TOWN, 18 Muharam 1445H, Sabtu – Kekurangan ahli didakwa menjadi punca PAS Pulau Pinang tidak dapat membantu Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau dalam kempennya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, kekurangan sumber itu menyebabkan parti tidak dapat membantu calon Perikatan Nasional (PN) di kawasan berkenaan.

Beliau menegaskan, bahawa PAS tidak memboikot kempen pilihan raya Dominic dalam apa cara sekalipun.

“Sekarang ini setiap calon perlu membawa jentera masing-masing. Dominic kena bawa orang sendiri juga. Kami tidak mempunyai cukup (ahli untuk membantu kempen).

“Malah, jentera pilihan raya kita di kawasan tertentu juga memerlukan bantuan. Mereka yang bertanding perlu mengetuai jentera mereka sendiri,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Muhammad Fauzi berkata, PAS Pulau Pinang akan menjelaskan perkara itu dan mengeratkan hubungan dengan Gerakan, termasuk menjelaskan isu pencalonan Dominic di Bayan Lepas kepada akar umbi.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa akar umbi PAS mengancam untuk memboikot pilihan raya selepas Dominic dinamakan sebagai calon yang bertanding di kerusi DUN Bayan Lepas yang majoritinya Melayu.

Pemimpin PAS tempatan berkata, parti itu telah melakukan kerja asas di sana selama bertahun-tahun dan tidak akan menerima Dominic, yang mereka dakwa sebagai calon ‘payung terjun’.

Dominic bakal bertanding di kerusi Bayan Lepas di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) menentang penyandang DUN itu, Azrul Mahathir Aziz daripada Pakatan Harapan (PH).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button