Zionis tangkap 4,650 warga Palestin sejak akhir bulan lalu
39 wanita, 180 kanak-kanak terpaksa hadapi suasana teruk di penjara Israel

BAITULMAQDIS, 22 Syawal 1442H, Khamis – Tanpa alasan munasabah, rejim penjajah Israel menangkap dan memenjarakan kira-kira 4,650 warga Palestin pada akhir Mei lalu.
Dalam satu kenyataan, Persatuan Tahanan Palestin (PPC) berkata, 39 wanita dan 180 kanak-kanak di bawah umur terpaksa menghadapi suasana yang teruk di penjara Israel.
Bulan lalu, rejim pengganas Israel meningkatkan kempen penahanan rakyat Palestin di Tebing Barat, Baitulmaqdis dan beberapa wilayah lain yang diduduki.
Tindakan itu dilakukan setelah rejim pengganas Israel menyerang para jemaah muslim di Masjid Al-Aqsa selain mengusir beberapa penduduk Palestin yang tinggal di penempatan Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur.
Selain itu, Israel turut melancarkan serangan udara ke Gaza yang membunuh lebih daripada 250 orang termasuk 66 kanak-kanak.
Secara keseluruhan, Israel membunuh sekitar 285 orang Palestin di seluruh wilayah Palestin yang diduduki dan mencederakan ribuan yang lain. -Agensi