Pendapat

Penutupan kilang arak serta-merta satu usaha yang Allah redhai

Harap penutupan kilang minuman keras diluaskan skopnya

TAHNIAH buat Kerajaan Malaysia mengambil tindakan berani untuk menutup kilang arak serta merta. Diharapkan tindakan ini akan berlanjutan bukan hanya kerana isu COVID-19 sahaja tetapi dari sudut memahami maqasid pengharaman arak keseluruhannya yang membawa kepada kemudaratan yang lebih besar. Mudah-mudahan ia juga menjadi asbab Allah mengangkat ujian wabak COVID-19 yang melanda dunia.

2. Pengharaman arak telah jelas banyak disebut dalilnya di dalam al-Quran dan hadis Nabi ﷺ. Dan pengharaman ini tertakluk kepada seluruh umat manusia.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Maidah: 90)

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ

Maksudnya: Rasulullah ﷺ melaknat mengenai arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.”
Riwayat Imam al-Tirmidzi (1295) dalam Sunan.

3. Allah telah mengurniakan buat manusia berbagai nikmat dan nikmat yang paling besar dalam diri manusia itu adalah akal. Itulah kemuliaan buat manusia bagi membezakan yang benar dan salah serta kestabilan hidup manusia bergantung kepada kekuatan akal. Justeru, mudarat meminum arak akan menyebabkan manusia hilang kewarasan, jiwa menjadi lemah, dikuasai oleh nafsu sehingga memberi kesan negatif kepada keluarga, masyarakat, negara dan seluruhnya lahir persengketan dan kebencian. Ini dijelaskan di dalam firman Allah yang berbunyi:

“Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu, dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”
(Surah al-Maidah: 91)

4. Justeru, kita mengharapkan penutupan kilang ini diluaskan skopnya bukan semata-mata industri yang tidak diperlukan ketika darurat tetapi sebagai satu ancaman kepada kestabilan dan keamanan masyarakat dan negara keseluruhannya.

Maryam Mohd Din
Penyelidik Majlis Ulama Isma (MUIS)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button