Berita Utama

Aman Palestin salur sumbangan awal RM4.945 juta untuk rakyat Palestin

‘Bantuan diharap buka ruang rakyat Palestin bangkit berjuang mewakili kita pertahankan Al-Aqsa’

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 23 Syawal 1442H, Jumaat – Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) berjaya menyampaikan sumbangan awal berjumlah RM4.945 juta kepada rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat dan juga di sekitar Masjid al-Aqsa, baru-baru ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ustaz Awang Suffian Awang Piut.

Beliau berkata, Aman Palestin cawangan Gaza telah memudahkan bantuan yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia dan mengurusnya mengikut keperluan semasa penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat. 

“Ketika peperangan 11 hari di Gaza berikutan serangan biadab Zionis di Masjid al-Aqsa, Aman Palestin telah tampil memberi bantuan kecemasan awal hasil daripada kempen Bantuan Kecemasan Al-Aqsa berjumlah RM4.945 juta. 

“Antara bentuk bantuan yang diberikan adalah pek makanan, roti, kit kebersihan, wang tunai, rawatan kepada mangsa perang, sewaan rumah sementara dan bantuan baik pulih rumah, ambulans, ubat-ubatan serta penyediaan unit kecemasan Hospital Ar-Razi,” katanya dalam sidang media pelancaran Tabung Perwira COVID-19, yang diadakan secara dalam talian, hari ini.

Beliau berkata, selain bantuan awal itu, Aman Palestin kini hadir dengan bantuan yang lebih besar manfaatnya untuk satu tempoh panjang. 

Ini kerana, katanya, pasca perang Saif Al-Quds yang dihadapi rakyat Palestin ketika ini adalah tempoh kritikal untuk membangunkan semula Palestin terutama di Gaza. 

“Usaha pemulihan kekuatan rakyat Palestin ini cukup penting daripada sudut ekonomi, sosial, kemasyarakatan dan infrastruktur bagi memastikan ketahanan mereka tetap jitu dan teguh berdepan kekejaman Zionis Yahudi. 

“Antara impak besar yang dilaksanakan Aman Palestin adalah projek pembangunan hospital Aman Palestin, iaitu hospital pakar psikiatri pertama di Gaza, projek baik pulih rumah sedia ada yang rosak, projek pembinaan kompleks perumahan yang akan memberi manfaat ratusan keluarga di Gaza.

“Hospital Pakar Psikiatri dan Rawatan Trauma ini dijangka dapat menerima sehingga 108,500 pesakit setahun,” katanya.

Ustaz Awang berkata, usaha pembinaan infrastruktur ini akan mengambil masa satu hingga dua tahun dan akan dibuat secara berperingkat.

Beliau berkata, ia dilakukan dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya Palestin, Kementerian Kesihatan Palestin, Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian Palestin (UNRWA). 

“Aman Palestin menyeru seluruh rakyat Malaysia prihatin termasuk badan kerajaan, badan bukan kerajaan dan korporat berganding bahu menyokong projek ini. 

“Semoga dengan segala sokongan anda membuka ruang untuk rakyat Palestin terus bangkit berjuang mewakili kita mempertahankan tanah waqaf Masjid al-Aqsa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button