Berita Utama

Dong Zong gesa kerajaan bantu pelajar sambung pengajian di China

Gesaan dinyatakan Dong Zong pada ketika negara bergelut dengan COVID-19

BANGI, 23 Syawal 1442H, Jumaat – Tatkala negara bergelut dengan ancaman peningkatan kes COVID-19 yang semakin membimbangkan, pertubuhan radikal Dong Zong tanpa rasa sensitif menggesa, supaya pelajar segera dihantar melanjutkan pelajaran ke negara China.

Dong Zong dilaporkan memohon Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Utusan Khas kepada Perdana Menteri ke China, Datuk Seri Tiong King Sing menghubungi pihak-pihak berkenaan di China, bagi menguruskan hal ehwal pelajar Malaysia untuk kembali meneruskan pengajian di negara itu

Menurut laporan Oriental Daily pada 1 Jun, Dong Zong berharap kerajaan Malaysia dan China memandang serius hak pendidikan pelajar Malaysia di China dan kesukaran yang mereka hadapi.

“Jawatankuasa Khas Kerjasama Kerajaan Malaysia dan China” yang ditubuhkan pada bulan April patut merancang pelan tindakan yang sepatutnya dilaksanakan seperti menyediakan lorong hijau dan kemudahan vaksinasi serta penempatan kuarantin.

Selain itu, menyediakan keperluan untuk pelajar yang perlu menjalani latihan dan kursus praktikal, serta menyediakan keperluan bagi pelajar yang akan tamat pengajian tidak lama lagi agar mereka dapat segera meneruskan pengajian bila semester baru bermula pada bulan September nanti.

Menurut kenyataan dikeluarkan Dong Zong, disebabkan perlaksanaan pencegahan wabak COVID-19 oleh kerajaan China dan Malaysia sejak awal tahun 2020, pelajar yang kembali ke Malaysia untuk cuti musim sejuk pada bulan Januari tahun lepas tidak dapat kembali ke China untuk meneruskan pengajian mereka.

Manakala pelajar yang baru mendaftar pula belum berpeluang memulakan pengajian mereka di China.

Menurut Dong Zong, walaupun banyak institusi pelajaran di China menawarkan kuliah dalam talian, tetapi kualitinya tidak sama, terdapat kursus-kursus yang tidak sesuai diajarkan secara dalam talian, ini menjejaskan hak dan kebajikan ramai pelajar.

Katanya lagi, semua pelajar yang masih berada di China termasuk pelajar antarabangsa telah kembali ke kampus masing-masing untuk mengikuti pengajian kuliah secara fizikal semenjak semester dua tahun 2020.

Ramai pelajar Malaysia yang mengikuti kuliah secara dalam talian menyuarakan kesukaran yang dialami terutamanya masalah ketika mengikuti kuliah kursus-kursus berkaitan latihan dan kursus praktikal, tidak ketinggalan adalah pelajar tahun akhir yang turut mengalami banyak masalah berkaitan pembelajaran.

Kumpulan pelajar-pelajar ini sememangnya mempunyai keperluan kembali ke kampus untuk mengikuti kuliah secara fizikal, untuk memastikan mereka mendapat hasil yang terbaik dalam pembelajaran, pada masa yang sama menjamin perlindungan hak pendidikan dan kebajikan mereka.

Menurut Dong Zong, sudah 47 tahun Malaysia dan China menjalinkan hubungan diplomatik. Dalam tempoh ini, banyak kerjasama dan program pertukaran dalam pelbagai bidang seperti politik, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan dilaksanakan dengan berkesan.

Lebih-lebih lagi, kerjasama dan program pertukaran pendidikan antara China dan Malaysia yang telah mencapai kejayaan yang signifikan, antara kejayaannya adalah peningkatan bilangan pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di China.

Sehingga Mac 2019, terdapat hampir 9,500 pelajar Malaysia yang belajar di China, termasuk pelajar yang ditaja oleh kerajaan dan pelajar persendirian.

Ini menunjukkan adanya trend positif interaksi antara kedua-dua negara dalam bidang pendidikan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button