Dunia

Kerajaan bayangan Myanmar ajak Rohinya bantu lawan pemerintahan junta

Janji beri kerakyatan, bawa pulang pelarian di Bangladesh dengan selamat

YANGON, 23 Syawal 1442H, Jumaat – Kerajaan bayangan di Myanmar meminta etnik minoriti Rohingya – yang teruk ditindas dan dinafikan hak – untuk membantu menggulingkan pemerintahan junta, dengan menjanjikan kerakyatan serta jaminan pulang ke negara itu. 

Myanmar berdepan ketidakstabilan politik sejak tentera menggulingkan kerajaan Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) dan pemimpinnya, Aung San Suu Kyi pada 1 Februari lalu. 

Tindakan tegas terhadap penentangan pemerintahan junta telah membunuh lebih 800 orang, menurut kumpulan pemantau tempatan. 

Sekumpulan Ahli Parlimen yang digulingkan kebanyakannya dari NLD – kemudian menubuhkan kerajaan bayangan ‘Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG)’ yang berusaha membawa penentangan antirampasan kuasa bersama-sama. 

Junta mengklasifikasikan NUG sebagai pengganas, dan mengancam sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan dengannya termasuk wartawan boleh dikenakan tuduhan di bawah undang-undang antikeganasan. 

“Kami ingin mengajak Rohingya untuk berganding bahu dengan kami dan yang lain untuk turut serta dalam revolusi ini menentang pemerintahan diktator tentera,” kata NUG dalam kenyataan, semalam. 

NUG juga berjanji untuk mengakhiri undang-undang kerakyatan 1982 yang mendiskriminasi Rohingya, dan memberi jaminan etnik yang lahir di Myanmar akan diberikan kewarganegaraan. 

Kumpulan itu turut mendakwa akan membawa pulang semua pelarian Rohingya di Bangladesh ke negara itu secara sukarela, aman dan bermaruah. 

Etnik muslim Rohingya telah lama dinafikan hak kerakyatan mereka oleh Myanmar, sehingga menyebabkan krisis kemanusiaan terburuk selepas insiden pembunuhan beramai-ramai hingga memaksa lebih sejuta melarikan diri. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button