Berita Utama

Kerajaan kaji sidang Parlimen secara hibrid

Pastikan Parlimen berperanan walaupun negara berdepan pandemik

KUALA LUMPUR, 23 Syawal 1442H, Jumaat – Kerajaan sedang mengkaji untuk mengadakan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara secara hibrid bagi memastikan Parlimen dapat berperanan sebagaimana sewajarnya walaupun negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata satu mesyuarat telah diadakan secara maya antara pihaknya dan kedua-dua Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta Timbalan-Timbalan Yang Dipertua bagi membincangkan perkara berkaitan persiapan ke arah pelaksanaan Parlimen secara hibrid itu.

Menurutnya ia merangkumi aspek-aspek infrastruktur, teknikal, undang-undang, peraturan dan kewangan.

“Mesyuarat hari ini pada dasarnya bersetuju dengan pelan konsep Parlimen hibrid yang berasaskan penyertaan Ahli Parlimen secara kehadiran fizikal dan juga secara maya,” katanya dalam kenyataan di sini.

“Mesyuarat turut memutuskan supaya kajian lebih terperinci dibuat segera bagi menyediakan kertas lengkap yang akan diangkat dalam waktu terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button