Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Pahang umum RM9.3 juta Bantuan Prihatin COVID-19 Fasa 2

Bantuan dalam bentuk wang tunai, makanan diberi secara bersasar

KUANTAN, 23 Syawal 1442H, Jumaat – Kerajaan negeri Pahang memperuntukkan RM9.3 juta sebagai Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 Fasa Dua kepada rakyat negeri itu yang terjejas pendapatan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Diperketatkan (PKPD).

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata bantuan dalam bentuk wang tunai dan bakul makanan itu diberikan secara bersasar, melibatkan beberapa sektor.

“Antara golongan menerima bantuan ini ialah pengusaha bot dan pemandu pelancong, operator kantin harian sekolah dan pekerja mereka, penyedia perkhidmatan penghantaran, pemandu e-hailing serta sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV).

“Turut menerimanya ialah masyarakat Orang Asli menerusi tok batin mereka, ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Persatuan Bekas Polis Malaysia serta penggiat seni.” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata penerima lain ialah penduduk di bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Rancangan (JKKR) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Baharu (JKKB).

Pengagihan bantuan itu akan dilaksanakan secepat mungkin bagi meringankan beban penerimanya.

Wan Rosdy berkata peruntukan baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan BPP COVID-19 untuk tahun ini sebanyak RM17.1 juta, dengan peruntukan fasa pertama berjumlah RM7.8 juta diumumkan pada 24 Mei lalu.

Antara golongan yang menerima manfaat daripada pengagihan fasa pertama ialah miskin tegar, orang kurang upaya, pemandu teksi dan warga emas melebihi 80 tahun yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button