Berita Utama

PAS lebih minat kuasa? Nur Jazlan gesa UMNO tamat kerjasama dalam MN

Dakwa PM memihak PAS, enggan ambil tindakan menteri parti itu yang cuai

BANGI, 23 Syawal 1442H, Jumaat – Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menggesa, UMNO menamatkan kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, UMNO tidak lagi boleh mengharapkan PAS bersikap ikhlas dalam mendukung tanggungjawabnya sebagai rakan sekutu dalam MN.

“UMNO telah lama menyimpan syak terhadap pemimpin PAS… akhir-akhir ini, mereka kelihatan lebih berminat untuk memperoleh kuasa dan kedudukan, malah dalam keadaan tertentu, wang (juga menjadi keutamaan).

“Dalam kes melibatkan (tanah) Lembaga Getah Malaysia (LGM), ternyata ada beberapa dakwaan yang cukup serius,” katanya seperti dipetik FMT.

Selain menolak MN, Nur Jazlan menuduh PAS sebagai parti yang gagal mempamerkan tadbir urus baik di beberapa negeri pimpinannya dari dahulu hingga sekarang.

“Kegagalan kerajaan negeri di bawah pimpinan Abdul Hadi Awang sebagai Menteri Besar Terengganu dari 1999 hingga 2004 adalah contoh urus tadbir lemah yang saya maksudkan,” katanya.

Beliau turut mendakwa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih memihak kepada PAS berbanding UMNO, malah enggan mengambil tindakan terhadap menteri PAS yang cuai.

Dakwanya, sikap Muhyiddin itu bertujuan memecahbelahkan hubungan PAS-UMNO.

Meskipun begitu, PAS menganggap kenyataan Nur Jazlan yang menggesa UMNO menamatkan kerjasama dengan parti itu dalam MN bagi menghadapi PRU15 berada ‘di luar kerangka UMNO’.

Bahkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menolak kenyataan Timbalan Pengerusi UMNO Johor itu sebagai ‘bukan mewakili kepimpinan tertinggi UMNO’.

Ini kerana katanya, dalam Perhimpunan Agung UMNO hampir semua bahagian telah membuat pendirian mengekalkan hubungan dengan PAS.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button