Artikel Khas

Segerakan pemberian vaksin kepada rakyat

Peratusan vaksin di Selangor paling rendah selepas Sabah

MENURUT data yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), sebanyak 12,584,422 orang yang sudah mendaftar dan 2,181,783 sudah divaksin setakat 4 Jun ini, yakni hampir 4 peratus sahaja dari keseluruhan populasi yang sudah divaksin. Jumlah ini masih rendah dan membimbangkan. Jika dilihat mengikut negeri, peratusan vaksin di Selangor adalah yang paling rendah selepas Sabah iaitu hanya 6.43 peratus dengan kepadatan penduduk yang sangat tinggi.

2) Lain pula situasinya di negara-negara maju, mereka sudah ke depan dalam hal ini. Misalnya, populasi penduduk United Kingdom yang sudah divaksin secara penuh adalah sebanyak 25.7 juta yakni bersamaan 38.6 peratus daripada keseluruhan penduduknya seramai 67 juta. Antara cara yang mereka lakukan ialah pendekatan turun padang yang mana pusat vaksin dibuka di setiap tempat termasuk yang jauh di pedalaman, mengurangkan kerenah birokrasi yang melambatkan proses vaksinasi, pemfokusan sasaran vaksin, sistem janji temu yang mesra pengguna dan tenaga tentera serta sukarelawan untuk membantu memberi vaksin kepada kawasan yang jauh.

3) Sekiranya dibandingkan dengan negara-negara Asean pula, kes positif kita adalah yang paling tertinggi yakni sebanyak 8,209 kes sehari. Berbanding data daripada CSIS yang memperlihatkan negara Indonesia yang populasinya lebih besar hanya mempunyai 5,246 kes, Filipina 5,249 kes, dan Thailand 3,440 kes. Sasaran capaian sehari untuk divaksin juga masih rendah di negara kita.

4) Jadi, menurut pandangan saya, sesuatu yang agresif perlu dilakukan oleh kerajaan untuk segera memberikan vaksin kepada mereka yang berdepan dengan risiko tinggi jangkitan COVID-19 ini terutama pekerja kilang dan warga emas. Golongan ini perlu dititikberatkan juga kerana ada di antara mereka yang kurang cakna malah menghadapi kesukaran untuk pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

5) Selangor yang merupakan kawasan industri paling banyak sepatutnya dipercepatkan vaksin terutama pekerja-pekerja kilang supaya pertumbuhan ekonomi dapat berlaku dengan lancar dan risiko yang minimum. Kerajaan harus menekankan pihak majikan untuk memastikan para pekerja mereka divaksinasi dan sekiranya mereka enggan, mereka boleh dikenakan tindakan yang keras kerana memberi ancaman risiko berjangkitnya COVID-19 kepada masyarakat sekitar.

6) Yang paling membimbangkan, menurut Prof Dr Adeeba Kamarulzaman, ahli Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah kematian akan meningkat kepada 26,000 dalam masa tiga bulan di Malaysia. Ini juga menggambarkan akan wujud ancaman yang lebih besar sekiranya vaksin ini tidak diberi dengan kadar yang segera.

7) Oleh itu, kerajaan perlulah menarik semula kepercayaan rakyat yang selama ini sudah hilang dengan mengetatkan kembali ‘lockdown’, arahan kuarantin serta sentiasa menunjukkan solidariti dari pimpinan sendiri dalam menyampaikan mesej dengan betul serta mengamalkan tanggungjawab yang kolektif demi kebaikan negara kita.

Ustaz Haji Zamani Ibrahim
Presiden BERJASA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button