Berita Utama

Selangor terima 615,000 dos vaksin setakat 1 Jun

Jumlah keseluruhan vaksin diberikan sebanyak 425,970 dos

SHAH ALAM, 23 Syawal 1442H, Jumaat – Sejumlah 615,000 dos vaksin COVID-19 telah diterima Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) setakat 1 Jun, merangkumi 434,070 dos vaksin Pfizer; 146,440 dos vaksin Sinovac dan 34,700 dos vaksin AstraZeneca.

Exco Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah Mahmud berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Bilik Gerakan Negeri Selangor, pemberian vaksin COVID-19 fasa pertama melibatkan 233,874 dos, manakala pemberian bagi fasa kedua adalah 192,096 dos.

“Jumlah keseluruhan vaksin yang telah diberikan ialah sebanyak 425,970 dos,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, urusan pengagihan vaksin dikendalikan sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, dengan bekalan vaksin yang diperuntukkan kepada negeri diturunkan kepada JKNS, disalurkan kepada bahagian farmasi dan diagihkan kepada Pusat Kesihatan Daerah (PKD) serta Pusat Pemberian Vaksin (PPV), untuk diberikan mengikut agihan yang telah ditetapkan.

“Selangor mempunyai kemampuan untuk memberi suntikan vaksin harian lebih tinggi daripada sekarang. Namun, kita tidak boleh menggerakkan PPV ke tahap yang maksimum, kerana penerimaan vaksin yang diterima oleh Selangor hanya setakat yang telah dinyatakan sahaja,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button