Berita Utama

Waspada penipuan jual beli kereta dalam talian: PDRM

Kes dilapor setakat Mei 2021 meningkat 94.5 peratus berbanding tahun 2020

BANGI, 23 Syawal 1442H, Jumaat – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan sebelum membuat pembelian kenderaan secara atas talian.

Ini kerana, pihaknya mengesan wujud peningkatan kes-kes penipuan jual beli kenderaan secara atas talian sejak kebelakangan ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM, Datuk Mohd Kamarudin Din berkata, sejumlah 552 kes penjualan kereta yang tidak wujud dilaporkan pada 2019, dengan jumlah kerugian sebanyak RM3,204,360.71.

Beliau berkata, jumlah itu meningkat kepada 678 kes atau 22.8 peratus pada tahun 2020 dengan nilai kerugian sebanyak RM5,926,165.05.

“Bagi tahun 2021 sehingga Mei, 461 kes telah dicatatkan. Jumlah ini adalah peningkatan sebanyak 94.5 peratus berbanding tempoh sama tahun 2020 (Januari hingga Mei) yang mencatatkan sejumlah 237 kes.

“Siasatan mendapati, modus operandi yang sering digunakan adalah dengan menawarkan harga kenderaan import terpakai yang kononnya daripada Singapura, Thailand ataupun Langkawi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, sindiket yang menggunakan media sosial sebagai medium pengiklanan, telah menawarkan harga yang lebih murah dari pasaran semasa.

Katanya, mangsa yang berminat dengan tawaran itu kemudiannya diminta untuk memasukkan wang ke akaun keldai (mule account) kononnya untuk pembayaran wang proses, cukai jalan, geran, cukai kastam dan sebagainya.

“Bagaimanapun, setelah wang dimasukkan, kereta yang dijanjikan tidak diterima,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai untuk membuat tinjauan dan semakan harga semasa di pasaran kereta terpakai sebelum membabitkan diri dalam urusan pembelian.

Selain itu, masyarakat juga perlu memastikan urusan perjanjian jual beli melalui kaedah yang diperakui agar tidak menjadi mangsa dan sentiasa simpan sebarang rekod perbualan serta transaksi pembayaran wang sebagai bukti.

“Jangan mudah percaya dengan iklan jualan kereta terpakai yang menawarkan harga yang terlalu murah atau harga istimewa atas alasan pengecualian cukai kastam, kereta rampasan pihak berkuasa dan lain-laian alasan yang tak dipastikan kesahihannya.

“Buat semakan pengesahan akaun bank dan talian telefon terlebih dahulu melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenal pasti sama ada akaun bank pernah terlibat kes penipuan atau tidak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button