Berita Utama

Masjid Putra mohon maaf kekeliruan dakwaan layanan berbeza terhadap jemaah

Pihak pentadbiran masjid akan usaha sedia perkhidmatan terbaik kepada jemaah pelbagai kedudukan

PUTRAJAYA, 4 Safar 1443H, Sabtu – Masjid Putra, Putrajaya memohon maaf atas kekeliruan susulan dakwaan timbul layanan berbeza kepada jemaah yang hadir solat Jumaat di masjid itu.

Dalam satu kenyataan, pihak pengurusan Masjid Putra memaklumkan urusan kehadiran jemaah, sama ada solat fardu lima waktu atau solat Jumaat adalah mematuhi garis panduan dan ketetapan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Katanya, bagi solat Jumaat, kapasiti jemaah di tersebut telah ditetapkan seramai 300 orang. 

“Daripada jumlah tersebut, pihak pengurusan masjid turut memperuntukkan sejumlah kuota untuk jemaah tetap yang telah mendaftar lebih awal dan memaklumkan jangkaan waktu ketibaan di masjid bagi memudahkan pihak pengurusan masjid memastikan jumlah kehadiran adalah bertepatan dengan kuota yang ditetapkan,” katanya, hari ini.

Penjelasan itu dibuat berikutan sebuah video yang tular mengenai layanan berbeza kepada jemaah yang hadir solat Jumaat, semalam (10 September) di Masjid Putra.

Dalam pada itu, ia menjelaskan, tidak dapat dinafikan bahawa saban minggu Masjid Putra menerima kehadiran para jemaah melebihi kapasiti yang ditetapkan sejak jam 11 pagi untuk menunaikan solat Jumaat. 

“Apabila kapasiti jemaah telah mencukupi, pihak pengurusan masjid akan menutup pinta pagar utama masjid menyebabkan jemaah yang hadir kemudian tidak dapat memasuki masjid. 

“Pihak masjid memaklum dan menasihatkan para jemaah secara baik mengenai perkara tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, bagi memelihara nama baik institusi masjid, pihak pentadbiran masjid akan berusaha sedaya upaya menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah yang terdiri daripada pelbagai kedudukan. 

“Justeru kami bersedia mempertingkatkan lagi kualiti pengurusan demi memastikan pelanggan setia kami gembira dan berpuas hati dengan khidmat yang diberi. Sebarang cadangan dan maklum balas bolehlah menghubungi terus pihak Masjid Putra. 

“Pihak Masjid Putra memohon kemaafan atas kekhilafan yang berlaku dalam hal ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button