Berita Utama

PAS gagal perjuang Islam walau dah jadi kerajaan

Masih senyap, tiada ketegasan termasuk RUU355, kes kematian Adib

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 24 Syawal 1442H, Sabtu – Walaupun sudah setahun PAS menganggotai Perikatan Nasional (PN), yang diuar-uarkan sebagai kerajaan Melayu-Islam, parti itu dan PN masih senyap dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan Islam.

Sebelum menjadi kerajaan, PAS berdegar-degar mahu melaksanakan pelbagai usaha bagi memperkasakan syariah Islam di Malaysia.

Ini termasuk pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau disebut RUU 355.

Namun, tegas pemerhati politik, Shahbudin Embun, masih tiada kertas untuk melaksanakan RUU 355 dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) di Kabinet. 

Beliau berkata, tidak lagi wajar sekiranya PAS mahu menyalahkan penglibatan mereka yang bukan Melayu dalam proses pelaksanaan rang undang-undang itu. 

“Menteri agama ialah bekas mufti. Menteri undang-undang pula daripada parti PAS. Majoriti ahli Kabinet terdiri daripada Melayu Islam. 

“Peguam Negara bukan lagi Tan Sri Tommy Thomas tetapi Tan Sri Idrus Harun (semuanya) beragama Islam,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara isu utama yang rakyat masih menantikan ketegasan PAS sehingga sekarang adalah kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Ini sangat jelas dan mendapat kritikan daripada warganet. Mereka bertanyakan di mana ketegasan PAS dalam isu Adib. Di mana juga ketegasan PAS apabila kes mabuk berleluasa semula satu ketika dahulu?

“Jangan lupa yang umat Islam juga telah berdepan dengan satu penghinaan apabila wujudnya video iklan raya yang mempromosikan permainan judi atas talian. Sungguh mengejut dan memalukan. Tetapi di mana ketegasan PAS?,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button