Berita Utama

Orang ramai diajak sokong petisyen tukar nama Bukit St Paul

Tindakan MCA bantah cadangan PERZIM tak hormat identiti negara

BANGI, 28 Zulkaedah 1441H, Isnin – Tidak sampai 24 jam dilancarkan, petisyen atas talian bagi menyokong Bukit St Paul ditukar kepada Bukit Melaka sudah mendapat lebih 1,000 tandatangan. 

Setakat jam 5 petang ini, petisyen yang dilancarkan gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) cawangan Melaka itu sudah mengumpulkan 1,020 tandatangan di laman web change.org.

Ketua Perhubungan Negeri ISMA Melaka, Ustaz Mohd Khoushaini Mohd Naim berkata, tindakan parti berasaskan kaum, MCA membantah cadangan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menukar nama bukit itu, adalah provokatif dan tidak menghormati sejarah serta identiti negara. 

“Apakah MCA lebih suka mempertahankan nilai penjajah berbanding sejarah asal? Apa yang MCA nak takut sangat dengan identiti empayar Melayu Melaka? 

“Bukankah itu adalah identiti asal dan jati diri negara ini?,” katanya. 

Sebelum ini, PERZIM bercadang menukar nama Bukit St Paul kepada nama lamanya, Bukit Melaka bagi mengembalikan nilai sejarah bukit berkenaan pada awalnya milik kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat tentangan MCA Kota Melaka dengan mendakwa tindakan mengubah nama ikon sejarah itu sebagai tidak masuk akal.

Naib Pengerusinya, Datuk Ronald Gan berkata, Bukit St Paul harus kekal seperti ini yang telah diketahui selama ini.

Hairan dengan kenyataan Ronald Gan, Mohd Khoushaini berkata, majoriti rakyat Melaka yang sayangkan identiti negara menyokong penuh cadangan PERZIM itu. 

Beliau berkata, sejarah bukit itu adalah lokasi asal Kompleks Istana Kesultanan Melayu Melaka setinggi tujuh tingkat dan Masjid Agung Melaka termasyhur, yang telah dihancurkan oleh penjajag Portugis pada 1511. 

“Jika diberi peluang dan cadangan, kita pasti akan tukar semua nama agar melambangkan identiti asal negara ini. 

“Namun, jika MCA tidak suka, adakah mereka layak diberi peluang pada PRU15 akan datang? Sudah ternyata belang sebenar mereka,” katanya. 

Justeru, beliau menggesa kerajaan negeri Melaka supaya meluluskan cadangan berkenaan, bagi membuktikan Perikatan Nasional (PN) mampu menjaga identiti serta jati diri negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button