Berita Utama

‘Lelaki Qawwam’ inisiatif perkasa peranan lelaki sebagai pemimpin, pembela masyarakat

Sudah tiba masa beri tumpuan khusus bina jati diri Lelaki Qawwam

KUALA LUMPUR, 21 Zulhijjah 1443H, Khamis – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memperkenalkan pendekatan inisiatif ‘Lelaki Qawwam’ sebagai usaha memperkasa peranan golongan itu selaku pemimpin, pelindung serta pembela keluarga dan masyarakat. 

Menterinya, Senator Datuk Idris Ahmad berkata, sudah tiba masanya tumpuan khusus diberikan kepada program-program pembinaan jati diri dan kualiti ‘Lelaki Qawwam’.

Beliau berkata demikian susulan melihat senario terkini yang memaparkan keruntuhan institusi sosial dan tanggungjawab lelaki sebagai seorang pemimpin kian pudar.

“Mutakhir ini, seperti dilaporkan oleh media, kejadian bunuh di kalangan ahli keluarga sendiri amat mendukacita dan membimbangkan. 

“Dalam masa yang sama, kerapuhan institusi kekeluargaan menjadi salah satu penyumbang kepada masalah sosial pada hari ini. Pendidikan anak-anak akan menjadi terabai apabila ibu bapa mereka sering bergaduh dan berantakan. 

“Adalah lebih parah, apabila si ayah mendera dan memukul fizikal isteri dan anak-anak. Ini adalah realiti yang selalu kita baca dalam laporan akhbar,” katanya dalam Seminar Lelaki Qawwam Peringkat Kebangsaan ‘Lelaki Dambaan Syurga’ di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, saban hari masyarakat disajikan dengan kes golongan lelaki yang mengambil kesempatan ke atas kenaifan golongan wanita. 

“Ayah dan datuk yang sepatutnya melindungi golongan wanita di bawah tanggungjawab mereka telah bertindak ibarat haruan makan anak.

“Begitulah juga, si ayah yang sepatutnya berperanan sebagai ketua keluarga, tetapi tidak berfungsi dengan baik, bahkan tidak mampu menjadi figura dominan yang boleh dicontohi dan dihormati oleh anak-anak.

“Tidak kurang juga golongan remaja dan belia lelaki yang dilihat segelintirnya seolah-olah sudah terhakis sifat kelelakiannya, bahkan cenderung ingin berpenampilan seperti wanita.

“Persoalannya, apakah benar dakwaan golongan lelaki hari ini sudah hilang sifat Qawwamnya? Atau golongan lelaki hari ini sudah tidak berkualiti lagi? Namun saya amat yakin, impian untuk meramaikan lelaki Qawwam yang didambakan sebagai mana panduan daripada al-Quran dan al-Hadith masih dapat kita sama-sama realisasikan,” katanya.

Sehubungan itu, Idris berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah diberi tanggungjawab sebagai sekretariat yang akan menggerakkan inisiatif-inisiatif tersebut bermula di agensi-agensi hal ehwal Islam dan seterusnya kepada masyarakat. 

“Seminar pada hari ini juga adalah rentetan daripada beberapa siri Persidangan Meja Bulat yang telah diadakan sebelum ini,” katanya.

Menjelaskan inisiatif Lelaki Qawwam, beliau berkata, ia diwujudkan bagi mengukuhkan pemerkasaan tanggungjawab dan peranan golongan lelaki sebagai pemimpin, pelindung dan pembela kepada golongan wanita, ahli keluarga dan masyarakat keseluruhannya.

“Lantaran demikian, adalah amat penting untuk kita sama-sama berganding bahu secara kolektif dalam menjayakan inisiatif Lelaki Qawwam melalui pelbagai bentuk program yang akan dilaksanakan.

“Khususnya kepada kaum lelaki bagi memberi kesedaran serta melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran ke arah memperkasakan peranan lelaki sebagai pemimpin, pelindung dan pembela keluarga,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, agensi-agensi Islam khususnya di peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) perlu segera menyusun program-program yang membumi dan berimpak tinggi. 

Katanya, pelbagai pihak seperti kaunselor, ahli akademik, pemimpin NGO, pihak anggota keselamatan perlu bergabung untuk menjayakan pengisian tersebut. 

“Kepelbagaian latar belakang ahli-ahli dan pembicara akan memberikan maklumat dan ilmu yang komprehensif kepada kita semua.

“Program pada hari ini adalah antara model program dan pengisian yang boleh dilaksanakan di institusi masjid surau termasuk di negeri-negeri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button