Berita UtamaDunia

Hamas kembali serang Israel jika Zionis tak henti tindas rakyat Palestin

Ancaman perpindahan penduduk Sheikh Jarrah masih lagi wujud

GAZA, 24 Syawal 1442H, Sabtu – Jurucakap Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) memberi amaran terhadap Israel ekoran serangan hariannya ke Tebing Barat yang diduduki, dengan menegaskan bahawa ‘satu lagi konfrontasi’ akan terjadi jika Tel Aviv tidak mengakhiri tindakan pencabulan terhadap rakyat Palestin.

Bercakap kepada agensi berita Anadolu yang dikendalikan negara Turki, Sami Abu Zuhri berkata, Israel tidak menghormati perjanjian dan melakukan serangan harian ke kota-kota Tebing Barat dan ancaman perpindahan penduduk Baitulmaqdis masih ada.

Kemungkinan ‘satu lagi pusingan konfrontasi’ akan terjadi jika rejim Israel meneruskan pelanggaran tersebut, katanya.

Sami Abu Zuhri berkata, gencatan senjata Mesir yang rapuh antara Israel dan Hamas masih berlaku sejak 21 Mei tetapi masa depannya bergantung pada Tel Aviv, sambil menambah bahawa gerakannya akan menghormati perjanjian itu selagi Israel melakukannya.

“Sekiranya Israel tidak mematuhinya, wajar bagi kita untuk melawannya,” kata pegawai Hamas.

Tel Aviv melancarkan kempen pengeboman ke atas Semenanjung Gaza yang dikepung pada 10 Mei, berikutan tindakan balas Palestin terhadap serangan ganas ke atas jemaah di Masjid al-Aqsa dan rancangan rejim untuk memaksa sejumlah keluarga Palestin keluar dari rumah mereka di kawasan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur.

Selepas diserang bertubi-tubi dalam serangan roket yang belum pernah terjadi sebelumnya dari Gaza, Israel mengumumkan gencatan senjata sepihak pada 21 Mei, yang diterima oleh Hamas dengan perantaraan Mesir.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, 260 orang Palestin terbunuh dalam serangan Israel, termasuk 66 kanak-kanak, 40 wanita dan 16 orang tua sementara 1,948 yang lain cedera. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button