Berita UtamaDunia

Malaysia antara negara bakal terima sumbangan vaksin dari AS

7 juta dos vaksin COVID-19 diperuntukkan untuk Asia

KUALA LUMPUR, 24 Syawal 1442H, Sabtu – Amerika Syarikat (AS) merancang untuk menyumbang sebanyak tujuh juta dos vaksin COVID-19 kepada negara-negara di Asia termasuk Malaysia, kata kerajaan AS.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh White House semalam, kerajaan AS mengatakan ia merancang untuk berkongsi sekurang-kurangnya 80 juta dos vaksin COVID-19 secara global pada akhir bulan Jun, dengan kumpulan pertama melibatkan 25 juta dos.

Katanya, hampir 19 juta atau sekurang-kurangnya 75 peratus daripada 25 juta dos vaksin awal itu akan disumbangkan melalui program perkongsian vaksin global yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikenali sebagai COVAX.

Peruntukan yang dirancang oleh AS untuk perkongsisn hampir 19 juta dos vaksin itu akan merangkumi kira-kira tujuh juta dos untuk Asia, iaitu ke Malaysia, India, Nepal, Bangladesh, Pakistan, Sri Lanka, Afghanistan, Maldives, Filipina, Vietnam, Indonesia, Thailand, Laos, Papua New Guinea, Taiwan dan Kepulauan Pasifik.

Manakala sekitar enam juta dos lagi untuk negeri-negeri di Amerika Selatan serta Tengah, dan kira-kira lima juta untuk negara-negara di Afrika yang dipilih bekerjasama dengan Kesatuan Afrika.

Sementara itu, hampir 25 peratus daripada 25 juta dos awal – yang berjumlah kira-kira enam juta – disasarkan diberikan kepada termasuk Mexico, Kanada, Korea Selatan, Tebing Barat dan Gaza, Ukraine, Kosovo, Haiti, Georgia,  Mesir, Jordan, India, Iraq dan Yaman, serta pekerja barisan hadapan PBB.

Pelan peruntukan yang dicadangkan untuk 25 juta dos pertama vaksin COVID-19 yang AS ingin kongsikan dengan dunia ini, akan dilaksanakan mengikut kelulusan undang-undang dan peraturan.

AS mengatakan ia akan bergerak secepat mungkin sambil mematuhi peraturan dan undang-undang AS dan negara tuan rumah, untuk memudahkan pengangkutan vaksin yang selamat dan melintasi sempadan antarabangsa.

Ia juga berkata bahawa proses ini akan ‘memakan waktu’, tetapi Presiden AS telah mengarahkan kerajaannya untuk menggunakan semua usaha untuk melindungi orang ramai daripada virus COVID-19 secepat mungkin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button